PAPAR: Walaupun hanya menang dengan majoriti 325 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), penyandang kerusi Parlimen Papar, Ahmad Hassan yakin mampu mengulangi kejayaan sama pada PRU15.

Ahmad mengakui pada PRU 2018, gelombang perubahan mungkin sedikit memberi kelebihan kepadanya untuk menang dalam saingan empat penjuru.

Bagaimanapun, bekas akauntan itu percaya rakyat di kawasan berkenaan akan memberi peluang sekali lagi berdasarkan trek rekod perkhidmatannya dalam tempoh empat tahun lalu.

"Perlu diingat pada ketika itu (PRU14) tidak ada sesiapa kenal saya, dan saya hanya berjuang di belakang.

"Apabila saya menang dan dilantik sebagai wakil rakyat, bermula hari pertama saya sudah berjalan. Mana tempat yang belum pernah dimasuki oleh wakil rakyat sebelum ini, saya masuk," katanya kepada Astro AWANI, di sini baru-baru ini.


Atas semangat itu, kali ini Ahmad mahu meneruskan misinya menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat di kawasan Papar.

Antara tumpuan, Ahmad berkata adalah untuk menjadi peneraju dalam membangunkan infostruktur dan infrastruktur di kawasan berkenaan agar ia lebih berdaya saing.

"Daripada awal lagi memang menjadi misi saya ialah supaya sekolah-sekolah daif yang mana pada ketika ini dalam lingkungan 847 buah yang memerlukan bantuan cepat daripada kerajaan.

"Jadi kita mahu kerajaan bertindak tetapi apa yang kita lihat hanya sedikit seperti yang kita sudah lalui dalam dua hingga tiga tahun yang lalu, tidak banyak sekolah yang dibaik pulih dan dibina semula," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut akan memberi tumpuan kepada sektor pertanian, pelancongan serta perikanan.

Mengambil contoh perikanan, Ahmad berkata, kebanyakan nelayan ketika ini berdepan kekangan apabila terdapat pulau-pulau yang telah digazetkan, sehingga menjejaskan pendapatan mereka untuk menangkap ikan.

.

Sementara itu, calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali pula mahu memperjuangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Selain mengangkat perkara itu di Dewan Rakyat sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen, Armizan berkata, dua alternatif dicadangkan sebagai penyelesaian yang menghimpit masyarakat di daerah itu.

Malah, beliau telah menyediakan kerja asas dan disokong oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di peringkat negeri.

"Pertama, sama ada mencadangkan untuk menyemak semula jumlah projek sebab itu adalah keperluan mendesak.

"Tetapi kalau tak dapat menyemak semula, kita akan memberikan alternatif kedua. Alternatif tersebut ialah kita buat secara berfasa seperti yang dibuat dari Pekan Pakar ke Bulatan Benoni.

"Saya telah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya, dan mereka telah bersetuju secara prinsip. Unit Perancang Ekonomi di Peringkat Persekutuan melihat ini sebagai alternatif yang baik," katanya.

Selain Ahmad dan Armizan, turut bersaing di kerusi Parlimen Papar ialah calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nicholas Sylvester @Berry; Henry Shim (Pakatan Harapan); serta dua calon Bebas masing-masing Johnny Sitamin dan Norbert Chin.