JERANTUT: Calon Parlimen Jerantut, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar, 60, yakin Barisan Nasional (BN) akan sapu bersih kesemua tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada BN dengan membawa semangat pahlawan Melayu Pulau Tawar, Mat Kilau yang sering memperjuangkan hak orang Melayu daripada penjajah British.

Mohd Zukami yang merupakan muka baharu itu, berkata pemilihan beliau sebagai calon adalah tepat dan layak sekali gus menepis perasaan skeptikal pihak tertentu bahawa ada calon lain yang sepatutnya dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

"Saya hormati keputusan ini kerana hal ini merupakan kebijaksanaan serta ketelitian Ketua UMNO Bahagian memilih calon yang sesuai dan difikirkan berwibawa, malah sangat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merestui pencalonan ini.

"Senario tidak puas hati ini yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu perlu dilupakan dan memberi fokus kepada strategi sepanjang berkempen untuk berdepan dengan cabaran pembangkang supaya BN dapat mengekalkan kerusi Parlimen Jerantut,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pengundi di Kampung Paya Teh dekat sini. 

Katanya, selain itu, BN kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar seterusnya merampas semula DUN Tahan dan DUN Damak yang jatuh ke tangan Pas pada PRU14, dan kali ini memastikan kemenangan jitu pada PRU15 ini.

Beliau yang juga cicit kepada Mat Kilau, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (pengkhususan bidang Antropologi dan Sosiologi), Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, fokusnya bersama sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk kemenangan kerusi Parlimen Jerantut dan tiga DUN.

“Pihak jentera parti sepanjang tempoh berkempen telah menjalankan sesi penerangan dari rumah ke rumah (door to door) dan hadir ke semua Pusat Daerah Mengundi (PDM), tempat awam serta bantuan tokoh penceramah BN dari luar.

“BN tidak menghadapi sebarang tekanan ketika tempoh berkempen walaupun kehadiran calon pembangkang seperti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) difahamkan telah meletakkan calon yang hebat,” katanya.

Parlimen Jerantut pada PRU14 lalu dimenangi oleh penyandangnya, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN) memperoleh 22,640 undi dengan majoriti sebanyak 5,908 selepas menewaskan calon Pas, Yohanis Ahmad (16,732 undi) dan Wan Mohd Saharir Wan Abdul Jalil dari PKR cuma mendapat 10,877 undi.