PRU15: Charles Santiago digugur dari kerusi Klang

Astro Awani
Oktober 27, 2022 04:18 MYT
Charles Santiago digugurkan sebagai calon DAP di kerusi Parlimen Klang pada PRU15 dan tempatnya diambil oleh ADUN Kemuning, V Ganabatirau. -Gambar fail/Bernama
KELANA JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Klang selama tiga penggal, Charles Santiago digugurkan sebagai calon DAP di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning, V Ganabatirau akan menggantikan posisi Charles, lapor Sinar Harian.
"Ini satu keputusan yang sukar tetapi untuk Klang parti membuat keputusan untuk memberi peluang kepada Exco Selangor, V Ganabatirau," katanya pada majlis makan malam pengumpulan dana Parlimen Damansara, di sini pada Rabu.
Selain itu, beliau turut mengumumkan tiga calon lain iaitu Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan bagi kerusi Parlimen Bangi; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin sebagai calon Parlimen Puchong dan bekas Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo untuk Parlimen Damansara.
"Gobind Singh akan mengisi kekosongan kerusi Damansara Tony Pua, selepas diteliti, Bee Yin merupakan calon yang sesuai menggantikan Gobind di Parlimen Puchong manakala Syahredzan menggantikan Ong Kian Ming yang tidak bertanding di Parlimen Bangi," ujarnya.

Thank you Klang Its been an incredible 15 years, where I have enjoyed your trust and friendship. I am deeply grateful for your support and I hope that I have done good by it.

— Charles Santiago (@mpklang) October 26, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, Charles dalam reaksi di akaun Twitternya sebentar tadi meluahkan rasa syukur di atas sokongan dan keyakinan yang telah diberikan kepadanya sejak 15 tahun berkhidmat.
"Terima kasih, Klang."
"Tempoh 15 tahun yang cukup mengagumkan, di mana saya beroleh kepercayaan dan persahabatan daripada anda.
"Saya terhutang budi dengan sokongan anda dan berharap saya telah melakukan yang terbaik," tulis Charles.
BACA: PRU15: Terus undi PH di Klang, rayu Charles Santiago kepada penyokongnya
#Charles Santiago #Anthony Loke Siew Fook #Parlimen Klang #PRU15