PRU15: Che Abdullah tidak lagi janggal berpakaian biru ketika berkempen

Bernama
November 7, 2022 11:13 MYT
Pada PRU14, Che Abdullah yang mewakili Pas memenangi kerusi Parlimen Tumpat dengan majoriti 17,500 undi. - Gambar fail/BERNAMA
TUMPAT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi mengakui merasa janggal pada awalnya kerana memakai baju berwarna biru ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbanding warna hijau ketika bersama Pas.
Penyandang kerusi Parlimen Tumpat itu bagaimanapun berkata disebabkan amalan politik persaudaraan, perpaduan dan penyatuan yang dibawanya seawal menyertai politik, perkara itu tidak menimbulkan masalah.
"Seawal menyertai politik saya sentiasa berkawan baik dengan sesiapapun sama ada mereka daripada Pas atau UMNO, tetapi sepanjang persahabatan itu saya rasakan kemesraan lebih ditunjukkan oleh orang-orang UMNO.
"Apabila diberikan peluang bertanding atas tiket BN, saya mendapati rupa-rupanya pemimpin BN ini adalah kawan-kawan saya yang amat karib selama ini cuma dahulunya kami hanya berbeza dari segi pandangan dan kerja berkaitan parti sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau juga tidak pernah mengkhianati kawan-kawan dan persahabatan, menyebabkan kesemua pemimpin dan ahli UMNO tidak mempunyai masalah dengannya, begitu juga dengan pemimpin Pas.
"Saya berharap mereka hormati keputusan saya yang sebenarnya amat berat saya ambil, namun saya telah memohon petunjuk daripada Allah," katanya.
[LAPOR LANGSUNG] Gelanggang PRU15 sudah dibuka, calon penuh ada di sini
RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI
Pada PRU14, Che Abdullah yang mewakili Pas memenangi kerusi Parlimen Tumpat dengan majoriti 17,500 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala pengundian awal pada 15 Nov.
#PRU15 #Che Abdullah Mat Nawi #calon BN PRU15 #Suruhanjaya Pilihan Raya