KUALA LUMPUR: Gerakan VoteMalaysia mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan tiga tuntutan dalam memastikan pengundian boleh dijalankan dengan sempurna terutamanya membabitkan golongan pengundi muda yang berada di luar negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Dalam sidang media membabitkan beberapa persatuan pelajar luar negara termasuk Persatuan Pengundi Muda (Undi18), VoteMalaysia berkata desakan tersebut terpaksa dilakukan memandangkan segala usaha rundingan dengan SPR untuk memperbaiki kelemahan sistem pengundian sedia ada ketika ini didakwa tidak dilayan.

"Saya rasa SPR telah diberi mandat untuk menyenangkan proses pilihan raya, tapi saya berasakan mereka telah gagal untuk melaksanakanya. Sebelum ini pun Undi18 telah meminta jika Pengerusi SPR tidak melakukan kerjanya untuk meletakkan jawatan.

"Saya kira adalah amat penting untuk SPR meneruskan niat untuk melakukan reformasi dalam sistem yang ada," kata pengasas Undi18, Qyira Yusri.

Sebanyak tiga tuntutan dikemukakan membabitkan proses pengundian yang dikatakan terlalu lemah oleh SPR melibatkan pengundi berdaftar di luar negara.

Dalam tuntutan tersebut, mereka mahu agar tempoh pendaftaran dan kempen yang lebih panjang termasuk tempoh untuk menghantar balik undi pos menjelang hari mengundi.

"Pada siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, hanya 10 hari diberikan untuk pengundi luar negara mendaftarkan pengundi. Pengundi pos mendapati tempoh ini terlalu singkat dan kempen kesedaran mengenai pengundian pos yang lemah telah menyebabkan pendaftaran yang sangat mengecewakan.

"Tempoh kempen selama 14 hari adalah tidak mencukupi untuk menerima surat undi pos di pelbagai tempat di seluruh dunia dan mengembalikan semula ke Malaysia," kata Pengerusi United Kingdom and Eire Council for Malaysian Students (UKEC) Syed Rifqi Najmuddin Syed Azidi.

Selain itu mereka juga menuntut agar kesemua Kedutaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi di luar negara untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan bagi membantu serta memudahkan urusan pengundian.

SPR juga katanya mesti menyediakan pengaturan logistik yang sesuai untuk mengantar kertas undi ke Malaysia dan mewujudkan sistem untuk mengemas kini pengundi mengenai status penghantaran.

"Kami ingin menegaskan kepentingan mewujudkan ketelusan dalam proses pengundian untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem. Kedutaan, Agensi Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi harus berfungsi sebagai pusat mengundi dan menjadi titik pusat dari mana undi akan diterima," kata Rifqi lagi.

Gerakan tersebut juga mahukan SPR untuk mengambil langkah yang lebih aktif memandangkan badan tersebut setakat ini menunjukkan kapasiti pengendalian pemprosesan undi pos yang sangat terhad dengan pelbagai masalah.

"Terdapat banyak kekeliruan yang timbul apabila ramai yang bersangka apabila Pendaftaran Pengundi Automatik (AVR) dilaksanakan, ia sama sekali tidak menjamin mereka menjadi pengundi pos secara automatik.

"Sebaliknya mereka perlu membuat pendaftaran akaun MySPR secara atas talian dan setelah pendaftaran akaun barulah mereka boleh memohon pendaftaran sebagai pengundi pos," katanya lagi.

Ketika ini jelasnya, VoteMalaysia akan mengambil insiatif sendiri untuk menjalinkan kerjasama dengan organisasi perwakilan pelajar Malaysia seluruh dunia untuk melancarkan usaha mengundi secara pos demi menjamin hak mereka selaku pengundi berdaftar dapat dilaksanakan.

Malah gerakan itu juga menggerakkan pungutan derma untuk memudahkan pengundian pos bagi menampung kos logistik yang besar untuk menghantar kertas undi kembali ke Malaysia secara sukarela.

Sementara itu bagi Qyira Yusri pula, SPR tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab dalam memastikan segala kemudahan dan sistem bagi memudahkan undi pos membabitkan pelajar-pelajar luar negara.

Lebih malang katanya segala usaha dan cadangan untuk mencari jalan penyelesaian serta perbincangan sebelum ini katanya tidak diendahkan dan dipandang sepi.

"Kita sering lihat SPR sering juga digunakan sebagai alat politik apabila mereka tidak bebas dan berada di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri dan mereka tidak dapat membuat keputusan sendiri. Mereka selalunya perlu kembali (rujuk) kepada Menteri Undang-Undang ataupun Pejabat Perdana Menteri.

"Jadi walaupun tuntutan ini tidak baharu tetapi ia masih penting buat rakyat bahawa tugas kami sebagai pengundi, tugas kami sebagai aktivis harus diteruskan untuk menambah tekanan kepada SPR dan juga kerajaan untuk menambah baik sistem yang sedia ada," katanya lagi.