GEORGE TOWN: DAP tidak mempunyai polisi yang mewajibkan calon-calon mereka yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengisytiharkan harta.

Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook memberitahu, pengisytiharan harta hanya akan dilakukan sekiranya seseorang calon itu menang dan dipilih sebagai menteri Kabinet.

"Kita (DAP) tidak mempunyai polisi sebegitu, namun sekiranya kami dipilih (sebagai menteri) sebelum angkat sumpah, kami akan mengisytiharkan (aset) seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout di Pasar Lebuh Cecil, di sini pada Khamis.

Sebelum ini,cCalon PH Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilaporkan mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.8 juta ringgit, sementara Pengerusi PH yang juga calon Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan memiliki aset bersih bernilai RM11.17 juta.

Dalam perkembangan berasingan, Anthony Loke meminta polis Perak untuk menilai semula peraturan bagi mendapatkan permit untuk mengadakan program turun padang atau walkabout yang dikenakan terhadap calon-calon di negeri itu.

Sambil menyifatkan ia sebagai satu tindakan mengarut, beliau berkata, peraturan itu hanya menyusahkan calon dan perjalanan berkempen.

"Ini sesuatu yang mengarut, saya pernah bertanding lima pilihan raya umum dan tidak pernah mendengar peraturan sebegini. Walkabout tidak pernah ada syarat untuk mendapatkan permit.

"Setahu saya, permit hanya diperlukan sekiranya kita mengadakan perhimpunan politik atau ceramah.

"Selalunya, pada tempoh berkempen kita akan menghantar permohonan sekali gus, misalnya segala aktiviti berkempen sepanjang dua tahun akan dihantar sekali gus. Ini adalah sesuatu yang baru.

"Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak pernah mengenakan syarat sebegini kepada calon. Kita hanya berjalan dan berjabat tangan dengan rakyat," katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan polis Perak yang menetapkan calon atau ejen untuk mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerah sebelum program walkabout dijalankan di negeri itu.

Menurut kenyataan itu, sekiranya calon didapati berkempen dan berkempen secara terbuka tanpa permit atau gagal mematuhi syarat permit, calon atau ejen tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 24 (B) Akta 5.