MUAR: Seorang ahli geofizik tidak menyangka permohonannya secara dalam talian untuk menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diterima parti itu.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pagoh, Iskandar Shah Abd Rahman mendaftarkan diri sebagai calon di laman web www.calonkeadilan.org pada 7 Okt, tiga hari sebelum Parlimen dibubarkan.

Menjadi ahli PKR hanya sejak dua tahun lepas, graduan dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengakui tidak langsung aktif dalam politik.

Pada 19 Okt lepas, Iskandar Shah, 41, dihubungi oleh seorang wakil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang memaklumkan beliau mengenai permohonannya berjaya dan ditawarkan menjadi calon di Parlimen Pagoh.

"Saya betul-betul tidak sangka. Saya diberikan masa untuk memberi jawapan sama ada ya atau tidak dalam tempoh masa 48 jam, kemudian pada 20 Okt saya memaklumkan kepada pihak tersebut saya bersetuju untuk bertanding," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Raja, Pagoh, di sini, baru-baru ini.


Pada 6 Okt lepas, Rafizi dilaporkan berkata, PKR telah membuka peluang kepada seluruh rakyat untuk menjadi calon parti itu pada PRU15 dengan mendaftar dan mencalonkan diri sendiri di www.calonkeadilan.org.

Berhubung dengan visinya, Iskandar Shah berkata, beliau memfokuskan tiga isu utama untuk diketengahkan sepanjang kempen PRU15 iaitu pemerkasaan pertanian pintar, keciciran dalam pendidikan dan pemilikan rumah.

Mengulas mengenai peluang untuk menang kerana berdepan dengan dua figura besar daripada parti lawan, beliau beranggapan mempunyai 50-50 peratus peluang untuk menang, namun, baginya apa yang penting sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

Parlimen Pagoh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Iskandar Shah, calon Perikatan Nasional yang juga penyandang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim.

Sementara itu, Razali, 52, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO ketika ditemui Bernama di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, di sini, berkata, beliau percaya dirinya mempunyai peluang untuk menang di Pagoh meskipun berdepan dengan bekas Perdana Menteri yang juga penyandang kerusi Parlimen itu.

Bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1999, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, meskipun pernah kalah pada PRU14, beliau tidak gementar untuk bersaing dengan calon baharu atau lama di kerusi tersebut.

Razali yang juga pernah menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, memperkasakan jaringan jalan raya serta menyelesaikan isu harga rumah yang tinggi dan banjir kilat di Pagoh menjadi antara fokus beliau sekiranya menang pada PRU15.

"Selain itu menyediakan infrastruktur selesa, peluang pekerjaan, pendidikan, liputan talian telefon dan Internet selain isu-isu melibatkan penduduk Felda antaranya di Felda Pagoh, Maokil dan Lenga.

"Isu banjir di Pagoh, misalnya sebelum ini tiada hujan, tiba-tiba rumah penduduk tenggelam sebabnya adalah limpahan air dari Sungai Muar dan Sungai Segamat. Bagi saya jaringan dan saliran darat yang baik perlu ada untuk memastikan air darat ke sungai dan sungai ke laut lancar sebab jika tiada perkara ini, air akan mudah tersangkut," katanya.

Razali menang tiga kali berturut-turut di kerusi Parlimen Muar pada PRU11, PRU12 dan PRU13, tetapi pada PRU14 beliau tewas kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu dengan majoriti 6,953 undi. - BERNAMA