SIMPANG RENGGAM: Penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik memaklumkan bakal mengadakan debat terbuka dua hari sebelum hari pengundian.

Maszlee mendakwa cadangan yang telah dikemukan pihaknya itu secara dasarnya telah dipersetujui oleh kesemua calon yang bertanding di kerusi tersebut.

Perkara itu katanya, telah dibincangkan bersama kesemua calon sewaktu proses penyerahan borang pencalonan di dalam dewan.

Ditanya mengenai isu perdebatan yang akan dibawa, bekas Menteri Pendidikan itu menyatakan ia bakal menyentuh mengenai isu nasional selain perkara-perkara membabitkan Simpang Renggam itu sendiri.

“Secara dasar mereka (calon) semua dah setuju jadi kita mohon juga media untuk hadir dan mungkin boleh jadi penyelaras program debat ini.

“Ini juga merupakan usaha untuk mematangkan proses demokrasi dan mendidik rakyat supaya pengundi bukan sekadar berdasarkan sentimen dan juga unsur politik wang tetapi pendedahan dengan politik yang berpendidikan dan demokrasi tulen,” katanya selepas selesai pengumuman senarai calon kerusi Simpang Renggam pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Maszlee memberitahu, lokasi debat terbuka itu dicadangkan supaya diadakan di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam yang juga lokasi penamaan calon hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee turut berharap agar tiada calon yang bakal tarik diri pada saat akhir bagi menyertai debat secara terbuka itu.