KOTA BHARU: Seorang ejen parti meninggal dunia selepas mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Mohd Jailani Alias, 53, ditemukan rebah dan tidak sedarkan diri selepas membuang undi.

"Saya mengesahkan terdapat kejadian itu di sini, dan kami menerima maklumat itu pada jam 7.50 pagi tadi," katanya di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Peringat, di sini, hari ini.

Sementara itu, isteri Allahyarham Mohd Jailani, Che Siti Abdullah, 47, berkata kejadian itu dimaklumkan padanya oleh rakan suaminya sekitar pukul 8 pagi.

Difahamkan, suaminya pengsan ketika bertugas di pusat pengundian terbabit dan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.

"Suami saya tidak ada sebarang penyakit kronik bagaimanapun mempunyai penyakit gastrik.

"Sejak dua minggu dia sering mengadu letih dan tiada bertenaga. Dia sudah membuat pemeriksaan namun tidak menunjukkan sebarang sakit kronik,"katanya.

Untuk rekod, tiga daripada empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut digunakan untuk pusat pengundian di Rantau Panjang.

PPS yang terlibat adalah SK Gual To' Deh, SK Kubang Kual dan SK Gual Periuk.

Setakat ini terdapat 401 dalam daerah Rantau Panjang yang masih berlindung di PPS.