SUNGAI SIPUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat supaya tidak mengulangi kesilapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini dengan memilih kerajaan yang gagal sepertimana PRU14.

Menurutnya, rakyat perlu kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak mahu melalui episod 'dipatuk ular' sekali lagi.

“Bagi saya kalau kita kena sekali sudahlah. Bak kata orang yang dipatuk oleh ular pada satu lubang.

“Takkan kita tak sedar, lubang itu ada ular, yang kita pi hulur kaki sekali lagi kenapa? Kita dah tahu kita dah kena tipu sekali, takkan nak dua kali kena tipu lagi. Cukuplah sekali,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama keluarga Felda Lasah di Dewan Semai Bakti, Felda Lasah, di sini, pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, berikutan tiada pengalaman mentadbir, Pakatan Harapan (PH) gagal memerintah selama 22 bulan menyebabkan negara dalam keadaan 'huru-hara'.

Katanya, sepanjang pemerintahan itu, tiada sebarang kelebihan diberikan kepada warga Felda, sebaliknya, mereka berdepan dengan kejatuhan harga kelapa sawit.

Dalam pada itu, beliau meminta warga Felda supaya memberi sokongan kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang setia bersama-sama MCA dan UMNO di dalam BN walaupun di waktu susah.

Menurutnya, inilah masanya untuk warga Felda menghargai pengorbanan kedua-dua parti itu yang terus setia sedangkan ada pemimpin UMNO yang melompat selepas BN tewas pada PRU14.