PADANG TERAP: Gelaran 'Yang Berhormat' (YB) yang sering digunakan bagi merujuk kepada wakil rakyat di negara ini, wajar ditukarkan kepada 'Yang Berkhidmat', sesuai dengan situasi semasa.

Cadangan itu dikemukakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyifatkan panggilan Yang Berkhidmat lebih tepat bagi menggambarkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh wakil-wakil rakyat.

"Panggilan Yang Berkhidmat itu lebih tepat bagi menggambarkan rekod perkhidmatan setiap wakil rakyat.

“Jika perkara itu dilaksanakan, orang ramai juga boleh menjustifikasikan seseorang wakil rakyat tersebut dengan panggilan Yang Berkhidmat yang disandang individu berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kakitangan Kolej MARA Kuala Nerang, di sini, hari ini.

Mahdzir yang juga penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Padang Terap berkata, penggunaan gelaran Yang Berkhidmat juga akan menjadikan wakil rakyat lebih dekat di hati rakyat.

"Yang Berkhidmat ini perlu sedar bahawa mereka memiliki dua tugas untuk dilaksanakan iaitu membuat dasar di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memberi khidmat kepada rakyat.

“Jadi dalam tempoh lima tahun itu, rakyat bolehlah menilai sama ada Yang Berkhidmat itu benar-benar berkhidmat di kawasan mereka atau sebaliknya," katanya.