BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya tanah rancangan Felda masih lagi menjadi kubu kuat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berdasarkan majoriti undi yang besar kepada calon-calon BN sebelum ini.

Ismail Sabri yang juga calon Perdana Menteri BN untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, sejak sekian lama Felda telah menyumbang kepada kejayaan BN membentuk kerajaan.

Menurut beliau, antara contoh Felda yang memberi undi besar kepada BN dalam pilihan raya-pilihan raya sebelum ini ialah Felda Sebertak di sini.

"Saya percaya, Felda masih menjadi kubu kepada UMNO dan BN. Contohnya di Felda Sebertak ini, sejak dari dulu lagi sudah menjadi kubu kuat dan beri undi terbanyak kepada calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

"Jadi pada PRU kali ini pun, saya yakin sekali lagi pengundi di Felda Sebertak boleh beri undi majoriti besar kepada calon BN. Begitu juga dengan tanah rancangan yang lain," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada Program Kenduri Rakyat yang dihadiri 500 penduduk setempat di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Khairulnizam Mohamad Zuldin.

Sementara itu, seorang penduduk, Noorhayati Mohd Sarani, 34, berkata, dia gembira kerana berpeluang mendampingi Perdana Menteri yang hadir menyatuni masyarakat dalam kempen PRU15.

Noorhayati menyifatkan Ismail Sabri seorang yang mesra rakyat dan mudah didekati.

"Kali ini, saya boleh mendekati beliau tanpa halangan, malah boleh berswafoto bersama. Dia sangat ramah tidak memilih utnuk sesiapa sahaja yang mahu mendekati beliau. Cara ini sangat bagus kerana rakyat akan rasa lebih dekat,” kata Noorhayati.

Bagi Muhamad Reduan Sabri, 29 pula, usaha Perdana Menteri mendekati rakyat amat dibanggakan kerana beliau tidak kekok untuk bersama rakyat malah ia harus diteruskan bagi mengekalkan status pemimpin berjiwa rakyat.