PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) akan mengumumkan senarai calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), minggu depan.

Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perbincangan itu berada di peringkat akhir namun belum dimuktamadkan lagi.

"Kemudianlah kita bagi tahu," katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, ini GTA membuat ketetapan untuk bertanding sekitar 120 kerusi Parlimen termasuk di Sabah bagi mencerahkan peluang memperolehi majoriti.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan GTA akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi tidak menolak kemungkinan itu.

"Itu (kerjasama dengan PN) kita nak timbang tengoklah, kalau mereka sependapat dengan kita dan tidak terlibat dengan benda-benda yang bertentangan dengan dasar dan prinsip kita, kita mungkin akan bekerjasama dengan mereka," ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, perkara mengenai kerjasama dengan GTA akan diteliti dengan lebih mendalam memandangkan ia tidak boleh diputuskan oleh beliau seorang selain melibatkan pimpinan daripada parti-parti komponen di dalam PN.

* Sempena PRU15 yang bakal berlangsung, Astro AWANI mempelawa pembaca untuk menyertai kaji selidik di laman web undi.astroawani.com.