SEPANG: Calon Parti Utama Rakyat (PUR) akan memperuntukkan gaji bulanannya untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen di sini jika beliau memenangi kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Mohd Daud Leong Abdulllah yang bertanding untuk kerusi Parlimen Sepang itu berkata, ia sebagai simbol keprihatinan dan komitmennya untuk membantu rakyat di kawasan tersebut.

Beliau yang juga seorang peguambela itu turut memaklumkan telah menandatangani surat akuan berkaitan perkara tersebut di hadapan Pesuruhjaya Sumpah baru-baru ini.

"Kita perlu letakkan hati kita kepada rakyat, tak guna kita bercakap tapi tidak selesai (masalah).

"Kalau kita berkhidmat untuk rakyat, kita buat kerja untuk rakyat. Duit itu milik rakyat.

"Saya akan jadi orang pertama dalam Parlimen (jika menang PRU15) untuk mengagihkan gaji 100 peratus. Saya harap menteri-menteri lain pun ikut sama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum proses penamaan calon di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Sabtu.

Bagi calon bebas, Mohd Syahrul Amri Mat Sari, 36, pula, antara isu yang bakal diketengahkan dalam manifestonya ialah isu sekuriti makanan dan kesihatan awam dan pemerkasaan golongan muda dalam bidang sosial.

Beliau yang pertama kali bertanding dalam PRU15 itu bagaimanapun mengakui tercabar dengan calon yang hebat-hebat.

"Saya bersyukur dan teruja dengan ruang yang diberikan oleh semua pihak sebab saya rasa saya 'underdog' di sini.

"Ini semua ketentuan ALLAH dan saya sedar sebahagian calon yang bertanding di sini dikira sebagai 'top gun'.

"Tapi kita proaktif untuk membangunkan rakyat Sepang dan Malaysia amnya kerana negara sedang sakit," katanya.

Pada Sabtu, PRU15 menyaksikan pertembungan lapan penjuru yang mempertaruhkan tiga calon wanita bagi merebut kerusi Parlimen Sepang.

Calon-calon tersebut ialah Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Wanita Gerakan Tanah Air (GTA), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Raj Munni @ Aiman Athirah.

Turut bertanding di Parlimen Sepang adalah calon BN Anuar Basiran, R. Nageswaran (PRM) dan M. Muneswaran (Bebas). - Sinar Harian