PRU15: Hukum mengundi wajib, bukan sunat, bukan juga harus - Abdul Hadi

Norfarhiza Mohd Atar
November 9, 2022 07:35 MYT
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas) berucap pada Pelancaran Manifesto PN Pahang malam tadi. - Foto BERNAMA
JERANTUT: Semua rakyat beragama Islam dinasihatkan agar keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ia merupakan satu kewajipan, bukan sunat dan bukan harus selain perlu difahami sebagai tanggungjawab untuk menentukan pemimpin.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengundi merupakan tanggungjawab yang wajib berbanding dengan menunaikan umrah cuma merupakan sunat dan hal ini berlaku dalam kalangan sesetengah orang (pengundi) yang tidak memahami pilihan raya untuk memilih pemimpin sebagai tanggungjawab yang wajib.
"Memilih pemimpin di atas dunia ini merupakan perkara yang akan disoal pada hari kiamat termasuk amalan serta tingkah laku kita dalam hubungan dengan masyarakat, keluarga dan sebagainya.
"Rakyat perlu melantik pemimpin untuk mewakili mereka seterusnya membentuk kerajaan yang baik untuk mentadbir negara. Tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih pemimpin yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto PN Pahang di Jerantut malam tadi.
Abdul Hadi yang juga penyandang Parlimen Marang menjelaskan dalam amalan demokrasi moden, rakyat diberikan peluang untuk menentukan kepimpinan negara berdasarkan pengundian melalui saluran pilihan raya bagi membolehkan kerajaan (pemimpin) menguruskan dasar (kerajaan) dan amalan boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
"Jangan sekali-kali memilih (mengundi) golongan yang salah dan sesat dalam PRU15 ini.
"Sekiranya pemimpin yang dipilih tidak mempunyai iman dan akhlak, maka ekonominya juga akan runtuh, politiknya pula zalim dan menipu, lantas tiada keamanan dan kesejahteraan lagi," jelasnya.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Hanya tinggal janji Ismail Sabri sebagai PM - Dr Mahathir
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
Beliau turut mengimbas sejarah Islam, iaitu selepas Nabi Muhamad SAW wafat, proses memilih (mengundi) pemimpin dalam kalangan kabilah di Madinah apabila Saidina Abu Bakar Assidiq dari kaum Muhajirin telah diangkat sebagai ketua (pemimpin).
"Hal ini berasaskan pesanan Nabi Muhamad SAW bahawa bani Quraish yang mendominasi dan terkuat pada masa itu, maka Abu Bakar layak dipilih sebagai pemimpin selepas Nabi.
"Bermula daripada Abu Bakar, pemilihan Umar, Oman dan Ali semuamya dicatat oleh ulama Islam sebagai panduan kepada umat Islam memilih pemimpin seterusnya," katanya.
Selanjutnya Abdul Hadi berkata, inti pati ucapan pertama Abu Bakar selepas dipilih wajar menjadi panduan bagi pemimpin hari ini memilih pemimpin yang benar menunaikan amanah Allah SWT, yakni kerajaan yang beraqidah, beriman, dan berakhlak.
Dalam pada itu, beliau seterusnya meminta pengundi termasuk orang muda yang berdaftar (boleh mengundi) tidak seharusnya memandang ringan soal politik dan seterusnya menentukan pemimpin negara melalui pilihan raya.
Beliau turut berdoa serta amat yakin kemenangan berpihak kepada PN di Pahang pada PRU15 19 November ini.
#PRU15 #Abdul Hadi Awang #wajib mengundi #Presiden Pas