KUALA LUMPUR: Dengan pengumuman calon-calon oleh gabungan parti terbesar, iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan Pakatan Harapan, (PH) rakyat Malaysia secara amnya telah mendapat kesemua jawapan tentang siapa yang bakal mereka nilai dan pilih untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun keluh-kesah dan drama politik dijangka berterusan apabila beberapa nama besar yang sekian lama mewarnai arena politik negara, digugurkan atas sebab-sebab tertentu.

Keterujaan beberapa pihak juga jelas kelihatan apabila hampir kesemua gabungan parti ini memenuhi komitmen masing-masing untuk menonjolkan sebilangan besar muka baharu, demi menepati cita rasa dan kehendak rakyat secara keseluruhan.

Tidak kurang juga muka-muka yang sekian lama kelihatan, juga masih kekal di lapangan, atas alasan dan perspektif yang berbeza.

Berikut merupakan antara kerusi-kerusi 'panas' di peringkat Parlimen pilihan Astro AWANI, berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan iaitu – individu atau calon, faktor geografi, serta impak nya terhadap suhu politik negara pasca PRU15.


GOMBAK

Mengikut naratif yang dimainkan Pakatan Harapan, ini kerusi tertinggi dalam senarai ‘pengkhianat’, memandangkan penyandangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memenangi kawasan itu atas tiket PH di bawah kuota Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagi PH, terutamanya PKR, Azmin perlu ditamatkan karier dengan sesegera mungkin memandangkan beliau dilihat telah mengkhianati perjuangan parti yang banyak menaikkan namanya, sebelum menjadikan parti itu, bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), hanya bertahan 22 bulan sahaja sebagai Kerajaan Persekutuan.

Pada PRU yang lepas, Azmin menewaskan pencabarnya iaitu Datuk Abdul Rahim Kamaruddin (BN-UMNO) dan Khairil Nizam (Pas) dengan majoriti sebanyak 48,721 undi.

Kali ini, kerusi Gombak yang mempunyai sekitar 80 peratus Melayu dan Bumiputera itu akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru.

Azmin akan ditentang Menteri Besar Selangor sendiri, Datuk Seri Amirudin Shari, serta Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.


Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN

TAMBUN

Kerusi yang disandang Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN-Bersatu) ini merupakan pilihan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam misinya untuk ‘menghukum’ kumpulan yang beliau labelkan sebagai ‘pengkhianat'.

Selain itu, ia juga menandakan kemaraan Anwar dan PH dalam misi mereka menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan untuk mereka menuju ke Putrajaya.

Pada pilihan raya umum yang lepas, Ahmad Faizal yang ketika itu di bawah tiket Pakatan Harapan, telah menewaskan pencabarnya iaitu penyandang ketika itu Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN-UMNO), dan Ibrahim Zakaria (Pas), dengan majoriti 5,320 undi.

Namun, pada Februari 2020, Ahmad Faizal bersama-sama dengan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia bertindak keluar dari Pakatan Harapan, menyaksikan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu hanya bertahan 22 bulan.

Untuk PRU kali ini, selain Anwar, Ahmad Faizal bakal menghadapi cabaran Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah dalam pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru.


SUNGAI BULOH

Biarpun Sungai Buloh dikira antara kubu kuat Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat, percaturan Barisan Nasional untuk meletakkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di kawasan tersebut, sedikit sebanyak menyebabkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli terpaksa menilai semula strategi asal mereka.

Pada PRU yang lepas, Sivarasa Rasiah memperolehi majoriti yang agak selesa iaitu kelebihan sebanyak 26,634 undi menewaskan pencabarnya Nuridah Salleh (Pas), A Prakash Rao (BN), dan Zainurizzaman Moharam (Parti Sosialis Malaysia).

Khairy merupakan antara pemimpin generasi baharu BN yang dilihat mampu memberi cabaran yang sengit untuk pencabarnya, termasuk kawasan semi urban, biarpun ada pandangan mengatakan ia merupakan antara strategi kepimpinan untuk mengurangkan pengaruh politiknya, seandainya Khairy gagal membuat kejutan di Sungai Buloh.

Berdasarkan senarai awal, Khairy akan berhadapan dengan Datuk A Ramanan dari PH-PKR dan Mohd Ghazali Md Hamin dari PN-Pas.

Bagaimanapun Rafizi dalam catatan terbaharunya berkata, beliau akan berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang maklum balas pengundi Sungai Buloh mengenai calon PKR setakat ini.

“Keputusan akhir adalah keputusan beliau sebagai presiden Parti,” katanya lagi.



SIMPANG RENGGAM

Bagi Maszlee Malik, keputusan PRN Johor yang lepas sedikit sebanyak memberi bayangan kepada beliau tentang sentimen pengundi tetap di kawasan Parlimen itu, apabila beliau tewas kepada Abd Mutalip Abd Rahim dari BN-UMNO pada Pilihan Raya Negeri Johor yang lepas.

Pada PRU14, bekas Menteri Pendidikan itu menewaskan pencabarnya Datuk Liang Teck Meng (BN-MCA) dan Mohd Jubri Salleh (Pas) dengan majoriti 2,983 undi, satu jumlah yang dikira tidak begitu selesa.

Mengambil kira strategi BN meletakkan bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohamad di kawasan itu untuk PRU kali ini, dan juga mengambil kira kekalahan PH di dua kerusi DUN di bawah Parlimen itu pada PRN Johor, nyata ia adalah satu tugas getir untuk Maszlee.

Selain Hasni, yang juga merupakan Pengerusi BN Johor, Maszlee juga harus menghadapi tentangan Mohd Fazrul Kamat dari Perikatan Nasional


ALOR GAJAH

Apa yang menarik mengenai kerusi ini, sudah pasti nama-nama yang dipertaruhkan oleh gabungan parti-parti besar Malaysia, baik dari Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, mahupun Barisan Nasional.

Mengikut rekod, kerusi ini dimenangi oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof di bawah tiket Pakatan Harapan, sebelum partinya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia mengambil keputusan untuk keluar dari PH pada Feb 2020.

Ia juga merupakan antara kerusi yang dilabel sebagai kerusi 'pengkhianat’ mengikut naratif yang dimainkan oleh gabungan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk PRU kali ini, Redzuan bakal menghadapi tentangan daripada bekas Ketua Menteri Melaka dari PH, iaitu Adly Hamzah, serta Ketua Penerangan UMNO Shahril Suffian Hamdan.

Pada PRU lepas, Mohd Redzuan yang lebih dikenali sebagai Pak Wan, menewaskan Wong Nai Chee (BN) dan Nazree Aris (Pas) dengan majoriti 6,980 undi.


BENTONG

Bentong merupakan antara kawasan yang memberi petanda awal kejatuhan BN pada PRU 2018, selepas menyaksikan Presiden MCA ketika itu iaitu Tan Sri Liow Tiong Lai tewas mengejut kepada calon Pakatan Harapan, iaitu Wong Tack dengan majoriti 2,032 undi.

Dengan pecahan demografi 46.5 peratus Melayu Bumiputera, 41.69 peratus Cina, 9.16 peratus India, dan selebihnya 2.65 peratus untuk lain-lain, ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada calon bukan Melayu.

Namun Bentong merupakan antara kerusi yang dijadikan medan ujian untuk DAP mempertaruhkan calon Melayunya dalam usaha meminimakan persepsi bahawa parti itu merupakan parti yang hanya mementingkan kepimpinan Cina.

Kali ini PH meletakkan sandaran kepada Timbalan Ketua DAPSY, Young Syefura Othman, biarpun ia menyebabkan rasa tidak puas hati Wong Tack yang menzahirkan hasratnya untuk bertanding atas tiket Bebas.



PAGOH

Ini merupakan kawasan Parlimen yang dipegang sekian lama oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pertama kali bertanding di kawasan itu pada 1978.

Beliau kemudian digantikan oleh Ahmad Omar dari BN untuk dua penggal, apabila turun bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri untuk menjadi Menteri Besar Johor.

Muhyiddin seterusnya kembali memegang kawasan Parlimen itu bermula tahun 1995, hinggalah ke PRU14 pada 2018, iaitu di bawah BN-UMNO dan PH-Bersatu.

Untuk pilihan raya umum kali ini, Muhyiddin bakal ditentang bekas Ahli Parlimen Muar iaitu Datuk Razali Ibrahim dari BN-UMNO, dan Iskandar Shah Abd Rahman dari Pakatan Harapan.

Biarpun ini merupakan kubu kuat beliau sejak 80an, dengan perubahan landskap politik semasa, kekalahan beliau bukan sahaja memberi impak kepadanya sebagai individu, malah akan memberi kesan buruk terhadap Perikatan Nasional.



TITIWANGSA

Titiwangsa merupakan antara kawasan Parlimen di bandaraya Kuala Lumpur, yang tidak boleh dikira sebagai kubu kuat Pakatan Harapan.

Malahan rekod yang tidak begitu memberangsangkan dari penyandangnya Datuk Seri Rina Harun sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat memberi impak negatif kepada kepada gabungan parti yang beliau wakili, baik di bawah Pakatan Harapan mahupun di bawah Perikatan Nasional.

Untuk PRU kali ini, Pakatan Harapan akan mempertaruhkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, manakala Barisan Nasional akan meletakkan kembali bekas penyandang kawasan itu, merangkap bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Selain itu, mereka juga akan dicabar calon Gerakan Tanah Air iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Bagi Khalid, ini merupakan percaturan yang berisiko selepas beliau meninggalkan kawasan Shah Alam, manakala bagi Johari, ia merupakan peluang untuk beliau kembali dalam arena politik tanah air, selepas tewas di tangan Rina dengan majoriti 4,139 undi.