SHAH ALAM: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengingatkan semua anggota parti agar tidak melakukan sabotaj ke atas calon yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Saya risau kerana ada orang dapat bertanding, dan ada orang tak dapat bertanding. Maksudnya dalam satu-satu bahagian, yang boleh bertanding Parlimen seorang. Yang layak semua termasuk ketua cawangan. Yang dapat bertanding seorang.

"Jadi saya harap jangan yang tidak dapat (jadi calon) merajuk. Tetapi kalau merajuk itu okey lagi, tiga empat bulan duduk rumah tak payah keluar tidak apa... sebab nak mengubati jiwa. Saya faham, sebab kita manusia dan  kita semua kerja kuat.

"Bagi saya kecewa tidak apa, yang tidak boleh ialah sabotaj kawan yang bertanding. Kita mesti tahu yang bertanding bukan diri dia, tetapi parti BN (Barisan Nasional), menggunakan lambang BN, bukan gambar kita di kertas undi," tegasnya.

Jangan sabotaj parti jika tidak tercalon PRU15 - PM Ismail Sabri

Justeru, beliau berharap semua pihak mendapat mesej yang jelas mengenai perkara itu memandangkan terlalu banyak kejadian 'cah keting' berlaku dalam kalangan mereka yang tidak dipilih menjadi calon pilihan raya.

"Itu sebab saya harap (cah keting) juga tidak berlaku di Selangor sebab tugas di Selangor ini besar iaitu untuk menang semula negeri daripada tangan pembangkang," ujar beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Konvesyen BN Negeri Selangor 2022 di sini pada Ahad.

BACA: Pindaan perlembagaan lulus: UMNO dijangka beri lebih tekanan pada PM untuk adakan PRU15

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengesahkan PRU15 akan diadakan terlebih dahulu sebelum Pemilihan UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendedahkan tarikh sebenar pilihan raya umum berkenaan.

"Sekarang ini, kita pilihan raya dulu ya, confirm pilihan raya dulu daripada pemilihan parti. Ini saya nak beritahu.

"Tarikh bila, saya tidak boleh nak sebut. Pilihan raya dulu (diadakan). Sama ada tahun ini atau tahun depan. Sama ada Sabtu atau Ahad, tak tahu lagi. Saya tak boleh beritahulah," katanya