JERLUN: Penyelesaian terhadap isu berkaitan hak dan kebajikan petani di Kedah, terutama di kawasan Jerlun menjadi fokus dua calon Parlimen itu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pejuang dan calon Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa rata-rata petani di negeri Jelapang Padi itu berada dalam keadaan terdesak kerana hasil pertanian mereka yang semakin terjejas setiap tahun.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen itu menyifatkan situasi tersebut sebagai 'the perfect storm' apabila dua keadaan iaitu masalah perubahan iklim dan isu pentadbiran berlaku serentak yang menyebabkan pendapatan petani jatuh merudum.

"Sebagai contoh, harga input padi seperti baja, benih dan racun yang semakin meningkat. Jadi bayangkan kos untuk mengeluarkan padi meningkat dengan begitu ketara sekali dan ini tiada kena mengena dengan cuaca.

"Cuaca sudah satu hal, yang ini berkenaan dengan bagaimana sektor padi ini diuruskan oleh pihak berwajib dan ini yang menekankan petani. Kalau hasil pendapatan nelayan menurun mereka diberikan elaun sara hidup, tetapi petani tidak ada," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Kampung Wang dekat sini hari ini.

Justeru, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah mencadangkan agar subsidi diberikan secara terus kepada petani dan bukannya kepada pembekal input pertanian bagi membantu golongan itu meneruskan hidup.


Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz berkata isu berkaitan petani adalah perkara yang sering dikemukakan kepada beliau memandangkan sektor pertanian diibaratkan sebagai 'tradisi' masyarakat di kawasan itu.

Beliau berkata selain faktor cuaca yang tidak menentu akibat perubahan iklim dunia, penyelenggaraan sistem saliran dan pengairan yang tidak dilakukan secara berkala juga akan menyebabkan masalah tanah menjadi terlalu lembut, sekali gus menyukarkan proses penuaian padi.

"Oleh kerana air tidak boleh disalir keluar dengan cepat dan berada di dalam bendang (sawah padi) terlalu lama, tanah keras menjadi lembut dan menyebabkan masalah kepada jentuai untuk mengeluarkan hasil tuaian padi," katanya.

Menurut beliau sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk menangani masalah itu ia akan menjejaskan pendapatan kira-kira 90 peratus penduduk di Parlimen Jerlun yang terlibat dalam industri pengeluaran padi.

Parlimen Jerlun menyaksikan persaingan empat penjuru pada PRU15 antara Mukhriz dan Othman serta calon Perikatan Nasional (PN) Dr Abd Ghani Ahmad serta calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali.

-- BERNAMA