PRU15: Jadi sejarah artis lawan MB - Ahmad Idham

Sinar Harian
Oktober 23, 2022 01:30 MYT
Ahmad Idham (berdiri tiga dari kanan) pada Majlis Makan dan Ramah Mesra Komuniti Hab Pendidikan Khas pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
PORT DICKSON: Meskipun belum pasti sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Port Dickson, namun pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nazri tidak gentar untuk bertembung dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang diumumkan bertanding di kawasan itu mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Ahmad Idham, semestinya akan menjadi sejarah dalam politik tanah air apabila seorang artis bertanding dengan Menteri Besar dalam pilihan raya.
"Ada tanya dengan saya tak takut kah bertanding dengan Menteri Besar? Saya cakap kena lawan kerana saya ada agenda masyarakat yang ingin dibawa.
"Saya fikir masyarakat hari ini sudah bijak menilai disebabkan itu saya yakin berpeluang untuk menang jika dicalonkan" katanya ketika ditemui pada Majlis Makan dan Ramah Mesra Komuniti Hab Pendidikan Khas Dr Ahmad Idham di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Berkenaan kritikan netizen terhadap anak seni yang menceburi politik, Ahmad Idham berkata, beliau tidak menyalahkan netizen kerana ada segelintir anak seni yang membiarkan mereka di pandang rendah.
Bagaimanapun beliau mahu membuktikan dirinya berbeza dan bermatlamat membawa agenda masyarakat dan bukan seni semata-mata.
"Tiada anak seni yang ada sekolah istimewa, hanya saya seorang dan kebanyakan anak seni jika bercerita tentang perjuangan, mereka akan bercakap soal perjuangan industri seni saja.
"Itu hak mereka, tapi bukan sekadar mahu membawa agenda seni tapi saya ada agenda masyarakat," katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan berkata, populariti sebagai anak seni memberi kelebihan buatnya, tetapi ia bukan penentu kemenangan.
Ujarnya, masyarakat hari ini sudah bijak menilai dan beliau percaya dan mempunyai peluang untuk menang jika dicalonkan.
"Sebagai anak seni orang dah kenal saya. Cuma sekarang saya nak orang kenal saya atas perjuangan yang saya nak bawa," katanya. -Sinar Harian
#Ahmad Idham #GTA #artis lawan MB #Parlimen Port Dickson