KUCHING: Pakatan Harapan (PH) sentiasa terbuka untuk berbincang atau bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, jelasnya perkara itu akan dibangkitkan selepas keputusan 19 November ini.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak memainkan peranan besar dalam pembentukan Malaysia, justeru perkara itu perlu diambil kira dengan serius.

“Apakah kita hendak menutup perbincangan (dengan GPS)? Saya tidak pernah kaitkan itu tetapi harus berlaku selepas pilihan raya, selepas 19 November barulah hal itu berbangkit.

“Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebagai mengenepikan penyertaan yang bermakna dari Sabah dan Sarawak," katanya.


LIHAT CALON-CALON DAN KEPUTUSAN PRU14 DI SINI


Anwar yang juga Presiden PKR berkata, tumpuan PH kini terarah kepada kerja keras untuk memastikan kemenangan calon dari tiga komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah.

PH katanya, berpegang kepada prinsip akan tetap bekerjasama erat dengan kerajaan negeri ini meskipun berbeza parti pemerintah.

“Saya terima kenyataan bahawa kerajaan negeri Sarawak sekarang di bawah GPS, tetapi kita bicarakan sekarang ialah Kerajaan Persekutuan, sama ada GPS, atau Pas di Kelantan, PH di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Kerajaan Persekutuan akan tetap bekerjasama erat dengan semua kerajaan negeri, itu prinsip kita tetapi kita mahu perwakilan daripada Sarawak dan Sabah yang kuat dalam PH kerana ia memberikan ruang kepada kita untuk mendapat pandangan akar umbi dan dasar yang sama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, PH memerlukan sekurang-kurangnya majoriti 112 kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Justeru, amat penting untuk Sabah dan Sarawak menyumbang kemenangan bagi memastikan majoriti mudah itu dapat dicapai.

“Kita tahu bahawa setakat kerusi kerusi kita di Semenanjung kita tidak cukup membentuk kerajaan Persekutuan, itu sebabnya kita memerlukan sokongan dan juga kerusi yang disumbangkan calon PH di Sabah dan Sarawak untuk mencukupkan majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi.

“Sebab itu kita datang merayu pengundi di Sarawak terutama di kawasan yang pernah kita menangi supaya terus memberikan sokongan kepada PH kepada DAP, PKR dan Amanah supaya kita dapat membentuk satu kerajaan yang kukuh di peringkat Persekutuan pada 19 November nanti, itu sangat mustahak,” ujarnya.