PRU15: Jika calon Bersatu Sabah menang, sumbang kepada PN - Muhyiddin

Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 11, 2022 15:04 MYT
Muhyiddin bersama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengadakan pertemuan dengan Badan Pimpinan Bersatu Sabah di Pejabat Bersatu Sabah.
KOTA KINABALU: Setiap calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi sumbangan kepada Perikatan Nasional untuk menentukan beberapa kerusi di peringkat Dewan Rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sambil menyatakan calon Bersatu akan menggunakan logo GRS, Pengerusi PN itu berkata, perkara itu adalah antara persefahaman yang dicapai pihaknya selepas mesyuarat yang diadakan di Pejabat Bersatu Sabah di Alamesra pada Selasa.
Beliau yang juga Presiden Bersatu menyerahkan kuasa prerogatif kepada Ketua Pimpinan Bersatu negeri dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor untuk membuat apa-apa keputusan yang sesuai dan memberi keuntungan kepada rakyat Sabah.
"Kami telah berbincang tentang ini dan Hajiji telah menjelaskan situasi agak luar biasa sedikit di negeri Sabah.
"Sebab itu terbentuknya kerajaan negeri pun adanya kerjasama, persefahaman parti-parti walaupun di peringkat Persekutuan tidak sehaluan tapi di sini keadaan agak luar biasa ataupun istimewa.
"Kami menerima perbezaan itu. Di negeri Sabah mereka boleh bekerjasama. Malah mereka menerima polisi yang dibawa oleh Datuk Hajiji," katanya selepas mesyuarat bersama barisan kepimpinan tertinggi Bersatu dan PN.
Selain itu, Muhyiddin turut menyerahkan kepada GRS dan Barisan Nasional (BN) untuk berunding mengenai rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua entiti.
#Calon Bersatu Sabah #Bersatu Sabah #GRS #Muhyiddin Yassin #Hajiji Noor