KUALA KEDAH: Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Kuala Kedah, Ulya Aqamah Husamudin menyatakan bahawa jurang perbezaan antara Pekan Kuala Kedah dan Bandaraya Alor Setar perlu dirapatkan agar dapat memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan sekitar.

Menurutnya, ia akan menjadi salah satu fokus yang akan dibawa sepanjang kempen beliau selain penekanan kepada penyelesaian berkaitan isu bekalan air dan elektrik yang dihadapi penduduk Kuala Kedah sejak sekian lama.

Tambah Ketua Penerangan Pejuang itu, penduduk Kuala Kedah juga perlu diberikan nafas baharu dengan pemilihan seorang wakil daripada golongan muda untuk diletakkan di Dewan Rakyat bagi membawa suara mereka.

"Wakil rakyat perlu memikirkan pelan bagaimana mendekatkan jurang antara Kuala Kedah dan Alor Setar, (ini kerana kedua-dua Parlimen ini) duduk sebelah sahaja, tetapi Pekan Kuala Kedah duduk begitu sahaja (tidak ada sebarang pembaharuan).

"Itulah (yang) saya rasa... mungkin tidak risau sangat (dengan penyertaan lawan saya iaitu) Dr Mashitah (Barisan Nasional), Dr Azman (Pakatan Harapan) dan Dr Fakhruddin (Perikatan Nasional), mereka (sudah) biasa dengan kawasan sini, kalau betul mereka hendak bawa perubahan, mereka sudah boleh buat lama.

"Kenapa baru kali ini minta diperbaharui mandat (dan sebagainya), sedangkan Pekan Kuala Kedah seperti itu juga, kalau mereka mahu perubahan, perlu ada perubahan dari segi undi, undi calon yang lebih muda dan punyai idea lebih baru daripada mereka yang ada di sini," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] Gelanggang PRU15 sudah dibuka, calon penuh ada di sini

RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI


Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas melakukan Walkabout di Pasar Malam Pasaraya Billion Kuala Kedah, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama beliau menyatakan bahawa adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk seorang calon bukan pilihan atau 'underdog' sepertinya untuk menang di Parlimen berkenaan.


Ini kerana, pengundi terutama golongan muda kini sudah mengalihkan fokus kepada calon yang lebih membawa suara mereka selain parti yang mengamalkan politik khidmat.

Parlimen Kuala Kedah bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Ulya, penyandang kerusi itu, Dr Azman, Datuk Mashitah Ibrahim, Ahmad Fakhruddin serta calon Parti Warisan, Syed Araniri Syed Ahmad.

Dr Azman menang kerusi berkenaan dengan majoriti 13,481 undi, menewaskan dua calon lain masing-masing dari Pas dan BN pada PRU14.