PRU15: "Kalau pendedahan Rafizi tak benar, jawablah" - Anwar

Hilmi Malik
November 8, 2022 12:08 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan cara timbalannya, Mohd Rafizi Ramli yang mendedahkan pelbagai isu sewaktu berkempen Pilihan Raya Umum ke-15. - Gambar BERNAMA
JOHOR BAHRU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan cara timbalannya, Mohd Rafizi Ramli yang mendedahkan pelbagai isu sewaktu berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Anwar, sekiranya pendedahan yang dibuat Rafizi tidak benar, maka pihak berkenaan boleh tampil untuk membuat penafian.
"Rafizi buat penelitian, dia berhujah dan kalau perkara itu tak benar jawablah.
"Dulu masa saya bangkitkan 1MDB pun tak benar, masa isu NFC pun tak benar jadi sekarang dah terbukti," katanya kepada pemberita selepas berucap dalam Program Santai Petang di Bandar Baru Uda, di sini, pada Selasa.
Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan baru-baru ini membuat pendedahan status projek kerja-kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa beliau mendapat kelulusan menerusi rundingan terus kepada kontraktor yang dibuat di bawah kerajaan sementara.
#PRU15 #Anwar Ibrahim #Rafizi Ramli #Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2