LANGKAWI: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.

Bagaimanapun, jelas bekas perdana menteri itu, ketika ini Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sudah mempunyai beberapa nama calon untuk dipertaruhkan di kawasan itu, namun ia terlalu awal untuk didedahkan kepada umum.

Tambah beliau, sekiranya calon berkenaan masih didapati tidak sesuai dan tidak mahu bertanding di Parlimen itu, beliau sedia kembali bertanding.

"Kita ada calon tetapi waktu ini kita tidak (boleh) beritahu lagi, kalau tak ada apa pun (perkembangan berkenaan calon sesuai hingga ke saat akhir), (dan jika) ada orang cadang saya (untuk bertanding di Langkawi), saya akan pertimbangkan.

"Kalau sudah tak ada orang (yang sesuai), (saya mungkin bertanding mempertahankan kerusi ini)," katanya kepada media selepas pertemuan bersama pengusaha-pengusaha feri Langkawi di sebuah hotel di Kuah, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, kempen untuk memperkenalkan Pejuang kepada orang ramai berada pada tahap yang baik termasuk telah melakukan jelajah ke seluruh negara.

Namun, dakwanya, akibat tidak mendapat liputan meluas daripada kalangan media berikutan Pejuang merupakan parti pembangkang, banyak pihak masih belum mengenali secara terperinci mengenai parti itu.

"Kita sudah lawat semua negeri, sampai ke Sabah kita pergi, tetapi tidak ada laporan. Kita (sebenarnya) ada orang (ahli parti), (lebih) banyak daripada orang Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dahulu.

"Mereka sekarang ini sudah tidak sokong Bersatu, mereka sokong Pejuang," jelasnya lagi.

BACA: Tun M sahkan tidak bertanding PRU15, beri peluang kepada calon lebih muda

Awal Mac lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen termasuk Langkawi dalam PRU15.

Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada calon yang sesuai dan lebih muda untuk terlibat di arena politik serta pilihan raya selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui lebih selesa untuk bertanding dalam PRU15 sebagai calon di Parlimen Jerlun berbanding Parlimen Langkawi.