MELAKA: Walaupun dianggap kelompok minoriti atau kumpulan sosiologi kecil dalam satu demografi, namun etnik Peranakan Baba Nyonya telah cukup dikenali di negara ini sebagai kumpulan yang dekat dengan gaya hidup Melayu.

Sehingga kini etnik itu masih lagi mengamalkan budaya dan cara hidup yang sama, malah jumlahnya mungkin sudah jauh lebih besar.

Namun dalam kebanggaan menonjolkan mereka sebagai sebuah masyarakat unik yang sering ditampilkan menerusi kaca mata pelancongan, dilema yang dihadapi mereka agak sulit, khususnya apabila bercakap soal status etnik mereka dalam spektrum masyarakat Malaysia.

Mereka tidak dianggap atau diiktiraf sebagai kaum Bumiputera dan tidak pula dikategorikan atau diterima dalam sebahagian kaum Cina. Hal itu meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar dalam menentukan identiti mereka.

Menurut Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya, Datuk Ronald Gan, ketika ini jumlah mereka yang berdaftar secara rasmi dan aktif dalam persatuan itu berjumlah lebih 3,000 orang.

Namun, beliau menganggarkan jumlah komuniti etnik itu ketika ini secara keseluruhan adalah sekitar 30,000 orang.

“Ramai juga lagi di luar sana yang saya kenal (belum berdaftar) kerana mereka tak nampak pentingnya untuk jadi ahli. Jadi, angggaran sayalah lebih kurang 30,000.

“Tapi sebenarnya kita ada satu cara untuk kita dapatkan kepastian. Agensi kerajaan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh bantu main peranan namun sehingga kini dalam ruangan suku kaum yang terdapat dalam sistem JPN itu akan ada pelbagai jenis seperti Hokkien dan sebagainya tetapi kategori Baba tiada,” katanya kepada Astro AWANI.

Sebahagian kemeriahan Program Minggu Kebudayaan Baba Nyonya ke- 4 baru-baru ini

Dalam masa yang sama jelasnya, ramai yang melihat mereka dari kalangan itu seakan-akan 'produk pelancongan' semata-mata, sedangkan katanya, mereka juga adalah sebahagian daripada tenaga penting dalam sejarah yang menyumbang kepada pembentukan negara ini.

“Siapa Baba di mata Malaysia hari ini? Zaman British ada kategori itu, kenapa ia dikeluarkan? Zaman British bukan hanya Baba, Chetti pun ada. Jadi, kita tiada pilihan tapi saya mahu pilih Cina Baba.. kenapa tak boleh? Jadi, jangan hanya anggap Baba sebagai 'produk pelancongan',” luahnya.

Oleh itu katanya, sesiapapun yang bakal menjadi kerajaan persekutuan seharusnya mengiktiraf mereka dalam sistem pendaftaran yang sepatutnya diakui oleh pihak JPN.

Ia bertepatan dengan sejarah mereka yang menduduki negara ini sebagai etnik paling awal berbanding bangsa lain selain daripada orang Melayu.

Malah katanya lagi, sumbangan yang diberikan oleh kaum itu dalam pembentukan Malaysia juga sesuatu yang turut dirakam sejarah negara ini.

“Kami juga adalah sebahagian arkitek kepada pembentukan Malaysia. Kenapa saya kata begitu, Tun Tan Cheng Lock (presiden pertama MCA) merupakan orang Baba. Dia adalah merupakan salah seorang dalam delegasi untuk mewujudkan Malaysia,” jelasnya lagi.

Menurut Ronald, generasi sebenar kaum Baba kini boleh dikenal pasti dengan menggunakan beberapa kaedah dan pendekatan.

Justeru jelasnya, perjuangan untuk memiliki status sebagai Bumiputera di negara ini lebih cerah dan ia bukanlah sesuatu yang tidak wajar.

Ini kerana jelasnya, ia tidak menjejaskan keistimewaan yang dimiliki oleh bangsa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi bagi mereka, ia adalah sesuatu yang amat melegakan dan merupakan satu pengiktirafan yang sepatutnya sekian lama mereka peroleh.

Bercakap mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan tidak lama lagi, beliau berharap Kerajaan Negeri Melaka yang ada ketika ini menunaikan janjinya untuk memberikan tempat untuk etnik itu sebagai ADUN tambahan atau senator.

Menurutnya ia adalah janji yang dibuat oleh pemimpin tertinggi kerajaan negeri dan juga Barisan Nasional (BN) pusat ketika berkempen di negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) tidak lama dahulu.