POLITICS
PRU15: Kehadiran Anwar di Perak belum cukup menggegarkan - Hamzah
Menteri Dalam Negeri yang juga Penyandang kerusi Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada pelancaran Himpunan Perikatan Nasional Parlimen Larut di Dewan Terbuka Taman Sri Permai, Selama hari ini. - Foto BERNAMA
LARUT: Kesediaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Parlimen Tambun, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum cukup menggegarkan arena politik negara.
Menurut Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ini kerana sejak dari dahulu lagi beliau sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan seumpama itu.
Tambahan pula, katanya hasrat Anwar untuk bertanding di Tambun juga masih belum muktamad.
"Itu dia umumkan, sama ada betul atau pun tidak, tunggu lah. Siapa kata Anwar menggegarkan? Anwar dah lama dah mengaku bahawa dia akan menggegarkan negara ni, tak gegar-gegar juga… insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perikatan Nasional (PN) Parlimen Larut di Pekan Selama, pada Sabtu.
Hamzah berkata, Beliau yakin PN mampu memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, pada PRU15.
Ujarnya, semangat kemenangan itu akan bermula di Perak Utara, khususnya di Larut yang mempunyai satu kerusi Parlimen dan tiga lerusi DUN.
Lebih 8,000 warga Larut, termasuk 5,000 peserta konvoi bermotosikal hadir pada majlis pelancaran itu.