BERA: Kenyataan berbaur ugutan Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai sifat dendam.

Dakwanya, tindakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mencerminkan apa yang berlaku kepada penjawat awam selepas menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Inilah sikap sebenar mereka yang sentiasa menyimpan sifat dendam. Sebab itu lepas PRU14 kita tengok mereka membalas dendam hari pertama mereka masuk sebagai kerajaan.

"Pegawai yang tidak bersama mereka, puluhan ribu pegawai kontrak Melayu dan Bumiputera dibuang begitu sahaja di bawah Biro Tata Negara (BTN), JASA dan sebagainya.

"Langsung tidak ada ruang, dia tak kata enam bulan selepas itu dibubarkan, tetapi cepat... BTN, JASA sebahagian besar kakitangan KEMAS yang dianggap sebagai penyokong kerajaan semuanya dipecat dan dibubarkan," katanya.

Tambah Ismail Sabri, ramai juga pengerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dipecat selepas pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

"Jadi terbubar dengan sendiri, tiada kerja. Pengerusi-pengerusi agensi anak syarikat sebagainya kalau daripada parti pemerintah BN terus mendapat surat pecat.

"Maknanya sikap mereka dah tunjuk semula Rafizi semalam apabila mengugut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," ujar Ismail Sabri.

Dakwa calon BN Parlimen Bera itu lagi, penjawat awam juga perlu sedar perkara itu terutama dalam menentukan kerajaan yang akan dipilih pada Sabtu nanti.

"Penjawat awam tidak lupa statement oleh mereka selepas menang... kakitangan kerajaan terlalu besar dan diperkecil... maknanya, nak buang orang.

"Jadi saya harap kakitangan kerajaan, penjawat awam sedar perkara ini, begitu juga tentera, polis tapi mereka dah mengundi.

"Tetapi apabila mereka kata polis dan tentera dibayar, ini satu penghinaan kepada tentera dan keluarga mereka," ujarnya lagi.

Media tempatan melaporkan Rafizi pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru pada Rabu, dilapor berkata PH akan 'mencari' Azam sekiranya pakatan itu menang pada PRU15.

Sebelum ini, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi yang juga calon PH kerusi Parlimen Pandan pada PRU15.