KUCHING: Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menjelaskan bahawa keputusan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas kerelaannya sendiri.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu menjelaskan tiada paksaan daripada mana-mana pihak agar berundur dari kerusi Parlimen Santubong yang diwakilinya sejak 2004.

“Ini yang saya hendak perjelaskan, saya tidak dipaksa oleh mana-mana orang untuk berhenti, ia adalah atas kehendak rela saya sendiri.

“Saya dah beri notis kepada Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) tiga bulan lepas, saya beritahu kepada beliau bahawa saya hendak menarik diri daripada PRU kali ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bilik Media VIP Lounge Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini pada lewat petang Jumaat.

Mengulas mengenai perkara itu kata penyandang kerusi Parlimen Santubong, walaupun orang di kawasannya masih berminat agar beliau terus mempertahankan kerusi untuk satu penggal lagi, tetapi pendiriannya untuk undur diri tetap tidak berubah.

Pertemuan pertama bersama Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) kata Wan Junaidi, tidak mendapat sebarang respons lanjut daripada Abang Johari.

“Ketika itu Premier tidak mahu memberikan kata putus, sebaliknya memberikan ruang kepada saya untuk membuat keputusan.

“Premier kata terpulang kepada anda, kita tidak perlu buat keputusan sekarang, begitu juga jawapannya (Abang Johari) semasa pertemuan kedua,” katanya.

Bagaimanapun kata Wan Junaidi, beliau tetap dengan pendirian dan menepati kata-kata serta keputusan untuk mengundur diri.

“Saya tunaikan janji saya untuk berhenti, kerana saya sudah berapa di kemuncak prestasi dan sudah tiba masa untuk mengundur diri. Jangan terlalu lama, jangan tunggu sampai nak kena terajang baru nak turun,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pencalonan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di Parlimen Santubong, kata Wan Junaidi ia tidak menjadi masalah baginya.

“Nancy sememangnya lahir dan dibesarkan di kawasan Parlimen Santubong, saya orang parti saya sudah bersama parti selama 44 tahun.

“Dalam PBB tidak akan ada yang berkecil hati, tak ada masalah untuk saya bantu Nancy berkempen di kawasan Santubong,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Junaidi berkata beliau belum memikirkan langkah seterusnya selepas ini meskipun mengakui menerima beberapa tawaran dari pelbagai pihak.

Wan Junaidi mula berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak tahun 1990 mewakili Parlimen Batang Lupar untuk tiga penggal sebelum bertukar ke Parlimen Santubong selama empat penggal hingga kini.

Sepanjang perkhidmatan 32 tahun di Dewan Rakyat, beliau pernah menjadi Timbalan Speaker selain memegang pelbagai jawatan Kerajaan Persekutuan termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri; Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen).