KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin yang bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mahu memastikan kawasan ditandinginya itu dikenali di peringkat dunia sekiranya memperoleh mandat daripada penduduk parlimen itu.

Menteri Kesihatan itu berkata janji itu akan direalisasikan menerusi tawaran pelbagai pendekatan antaranya melahirkan usahawan yang boleh menghasilkan produk beridentitikan Sungai Buloh serta menjadikan kelebihan kawasan berkenaan sebagai tapak semaian tumbuh-tumbuhan kepada satu tarikan antarabangsa.

"Selepas ini saya nak satu dunia tahu Sungai Buloh, di mana Sungai Buloh, apa dia Sungai Buloh tuan-tuan dan puan-puan. Takkan Sungai Buloh dikenali kerana Penjara Sungai Buloh dan Hospital Sungai Buloh sahaja?

"Sungai Buloh mesti jadi bertaraf dunia dan antarabangsa tuan-tuan dan puan-puan. Dulu pun ramai yang tak kenal Rambau, sekarang ini semua kenal Rembau," kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu ketika program ceramah "Kata Janji KJ" di Tapak Pasar Malam, Kampung Melayu Sungai Buloh malam tadi.

Beliau berkata sebagai kawasan yang mempunyai banyak potensi, Sungai Buloh harus dibawa ke masa depan yang cemerlang dan tidak boleh terperangkap selama-lamanya dengan ketiadaan "identiti" pembangunan yang boleh dibanggakan.

Pada PRU15 ini, Khairy akan ditentang enam calon iaitu Datuk R Ramanan daripada Pakatan Harapan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusoff (GTA-Pejuang) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.

-- BERNAMA