KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) P.119 Titiwangsa, Khalid Samad menegaskan bahawa peralihannya ke Titiwangsa adalah bukan disebabkan beliau tidak lagi diterima di Shah Alam.

Sebaliknya, kepimpinan PH meletakkan beliau di kawasan itu atas tiket pengalamannya sebagai bekas Menteri Wilayah Persekutuan ketika PH menjadi kerajaan tempoh hari.

“Hari itu (dalam PRU14) saya dapat dalam 55,000 undi. Ada 22,000 undi calon Barisan Nasional (BN) dan 15,000 undi calon Pas.

"Maka ada dalam 37,000 pengundi yang tak undi saya, bermaksud memang takkan ada semua yang menyokong saya.

“Dah tiba masa, selepas tiga penggal (sebagai Ahli Parlimen Shah Alam) bagi saya dah mencukupi dan ada pelapis untuk mengambil alih,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Kerusi Parlimen Titiwangsa disandang oleh calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rina Harun, yang menurut Khalid, asalnya mahu diberikan oleh kepimpinan PH kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Bagaimanapun katanya, ia diserahkan kepada calon Bersatu kerana parti itu inginkan satu kerusi di Kuala Lumpur ketika itu.

“Tetapi ia tak asing bagi Amanah kerana sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, memang ahli-ahli Amanah dan parti pun mendapat tempat di dalam Wilayah Persekutuan termasuk di Labuan dan Putrajaya.

“Kami serahkan kerusi Titiwangsa dan pimpinan menganggap saya merupakan ahli atau pimpinan yang paling berpeluang (untuk memenangi kerusi tersebut),” tambahnya.

PRU15 | Khalid Samad nafi beralih ke Titiwangsa kerana sudah basi di Shah Alam