PRU15: Kita hanya ada satu panglima besar iaitu Anwar Ibrahim - Anthony Loke
Aida Aziz
Oktober 20, 2022 23:15 MYT
Oktober 20, 2022 23:15 MYT
IPOH: Pakatan Harapan (PH) telah melalui pelbagai cabaran dan ujian sepanjang tempoh dua tahun, khususnya selepas 'langkah Sheraton', kata Timbalan Pengerusi PH Anthony Loke Siew Fook.
Menurutnya, ujian itu membabitkan persoalan tentang kepimpinan gabungan itu, sama ada akan menggunakan logo bersama atau sebaliknya, serta hala tuju PH.
"Tetapi, saya berbangga pada malam ini untuk melaporkan kepada semua, soal kepimpinan jelas bahawa kita hanya ada satu panglima besar iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita hanya ada seorang pengerusi, tidak ada pengerusi dan presiden (lain) lagi. Soal logo kita sudah selesaikan. Kita pernah hadapi ujian di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kita pakai logo berasingan.
"Soal logo, saya ucap terima kasih kepada Anwar dan kepimpinan PKR. Beberapa minggu lalu sudah diputuskan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak ada kompromi, tiada pilihan, kita pakai logo bersama, logo PH," katanya.
Loke yang juga merangkap Setiausaha Agung DAP berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Harapan 2022 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, malam tadi.
Tambahnya, dari sudut pembahagian kerusi pula, perkara itu sudah selesai dan akan diumum oleh Anwar.
Tegasnya lagi, dalam tempoh genting untuk menghadapi PRU15 yang dijadual berlangsung pada 19 Nov depan, beliau mahu semua bersatu padu dan mengelak sebarang keretakan.
"Kita tidak boleh melihat ada tanda-tanda keretakan dalam PH walaupun setitik.
"Itu sebabnya, kalau kita nak berjaya, saya merayu kepada semua, dalam tempoh sebulan yang cukup penting ini, dari saat ini sehingga 19 Nov, kita mesti bersatu padu, apa saja perbezaan mesti diketepikan," katanya.