KOTA BELUD: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor diminta mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia berikutan pembabitan Rubin selaku wakil rakyat mesra GRS, yang didakwa menjadi dalang dalam penyertaan calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin yang juga anaknya ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), pada Jumaat.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tindakan itu bertentangan dengan perjanjian GRS-BN selain tidak mencerminkan semangat setiakawan yang dimeterai di antara kedua-dua gabungan berkenaan.

"Tindakan yang melanggar perjanjian ini memberi gambaran yang negatif terhadap kerjasama GRS-BN selain akan merosakkan sokongan kepada calon BN, Jamawi Jaafar di kerusi Parlimen Tenom," katanya semasa ditemui selepas menghadiri mesra bersama rakyat Parlimen Kota Belud di kampung Taun Gusi dekat sini pada Jumaat.

Jelasnya, tindakan disiplin perlu diambil segera sebagai peringatan kepada semua ahli dan pemimpin GRS-BN supaya tidak memandang ringan kerjasama yang dimeterai kedua-dua pihak sebelum ini.

Ia termasuk menamatkan pelantikan mereka sebagai pengerusi atau apa-apa jawatan dalam agensi mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Riduan yang merupakan salah seorang calon Bebas dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen Tenom disahkan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin, disahkan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari ini.

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony berkata Riduan akan kekal bertanding pada PRU15 sebagai calon Bebas tetapi dibantu jentera parti itu.

Pada 5 November, pencalonan Peter untuk bertanding di Parlimen Tenom pada penamaan calon ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan kekecohan dalam kalangan penyokong KDM di pusat penamaan itu.

Sehubungan itu, persaingan lima penjuru di Tenom melibatkan penyandangnya Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar (Barisan Nasional-BN), Ukim Buandi (Warisan) serta calon Bebas iaitu Riduan dan Peggy Chaw Zhi Ting.