KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam hari ini menyeru parti politik di negara ini memberi tumpuan kepada agenda memperkasa ekonomi rakyat khususnya orang Melayu serta menjaga kedaulatan Islam.

Perkara itu ditegaskan dalam Muzakarah 113 Cendekiawan melibatkan NGO berkenaan termasuk Gerakan Pembela Ummah, Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia serta 15 pakar daripada pelbagai bidang.

Penyelaras program Muzakarah 113 Cendekiawan Mohd Zai Mustafa berkata perbincangan itu juga menjurus kepada memartabatkan bahasa Melayu, mengekalkan tanah rezab Melayu selain memperkasa peranan guru dan pendidikan Islam.

"Kami akan mengeluarkan deklarasi yang akan dibentangkan merentasi parti-parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, dan kami berharap semua parti politik menerima deklarasi ini," katanya kepada pemberita selepas muzakarah berkenaan di sini hari ini.

Antara pakar yang terlibat dalam perbincangan berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, tokoh akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah dan bekas peguam kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara Prof Datuk Mahamad Naser Disa.

-- BERNAMA