KULAI: Seorang lelaki mabuk ditahan kerana mematahkan bendera kempen Barisan Nasional (BN) dalam satu kejadian di Taman Senai Utama, Senai di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek yang berusia 58 tahun itu dipercayai dalam keadaan mabuk ketika membuat provokasi berkenaan.

"Pada pukul 12.15 tengah malam tadi, anggota polis menerima makluman terdapat seorang lelaki mabuk membuat provokasi dengan mematahkan bendera yang dipasang jentera kempen BN.

"Polis kemudiannya telah menahan suspek dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Khianat bendera parti lawan, Polis Melaka buka kertas siasatan

SEMAK CALON PRU15 DI SINI


Beng Yeow menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kelakuan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Superintenden Ibrahim Mat Som memaklumkan pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berhubung insiden yang berlaku ketika tempoh berkempen bagi PRU15 di negeri ini.

Katanya ia melibatkan insiden membakar bunga api dan mercun serta perbuatan khianat merosakkan bendera parti.

"Siasatan pertama dibuat bagi kes sebuah parti yang sedang berkempen kemudian membakar mercun dan bunga api di Buloh Kasap, Segamat. Manakala satu lagi siasatan berkaitan khianat merosakkan bendera parti di Kampung Sri Makmur, Plentong.

"Dua kertas siasatan ini dibuka dan disiasat di bawah peruntukkan undang-undang iaitu Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.