PRU15: Lupakan soal pilihan raya, fokus urusan rakyat- Fadillah

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 20, 2022 07:22 MYT
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan sidang akhbar selepas meninjau jambatan baharu Titi Kerawang di sini hari ini. - Foto BERNAMA
BALIK PULAU: Lupakan dahulu soal Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, sebaliknya fokus wajar diberikan kepada menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang dihadapi negara ketika ini.
Pandangan itu disuarakan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung gesaan sesetengah pihak yang mahukan PRU-15 diadakan lebih awal.
Fadillah berkata, sepatutnya dalam situasi negara yang masih berdepan dengan pelbagai isu, para pemimpin perlu memastikan urusan rakyat didahulukan berbanding soal PRU.
"Kita kena pastikan kita tangani banyak perkara, iaitu krisis kesihatan, ekonomi, apatah lagi krisis di peringkat dunia yang memberi cabaran kepada kita.
"Kita kena fokus apakah langkah dan strategi yang perlu dilaksanakan supaya kedudukan ekonomi negara akan berada lebih baik, dengan ekonomi negara berada lebih baik, kewangan negara lebih baik maka kita akan beri tumpuan dan boleh menjaga kebajikan rakyat kita, itu sepatutnya fokus setiap ahli politik kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau projek jambatan baru Jalan Titi Kerawang di Balik Pulau, Pulau Pinang pada Ahad.
PRU15 | Lupakan soal pilihan raya, fokus urusan rakyat
Bagaimanapun, Fadillah berkata, keputusan sama ada untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat termaktub kepada budi bicara dan bidang kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
"Lupakan dulu hal PRU, fokuskan sehingga kita dapat mengukuhkan hal negara kita. Rakyat berada dalam keadaan lebih baik krisis kesihatan dapat dijaga barulah kita lihat kepada pilihan raya tetapi apa pun itu adalah atas budi bicara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) yang berakhir pada Sabtu membayangkan PAU kali ini adalah yang terakhir sebelum semboyan pilihan raya digerakkan.
Jelasnya, hasrat untuk PRU diadakan secepat mungkin sememangnya tidak boleh dinafikan kerana ia menjadi keinginan akar umbi UMNO ketika ini.
#PRU15 #Fadillah Yusof #Zahid Hamidi #pilihan raya umum