KLANG: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) Kota Raja, D Kajendran menyifatkan manifesto Mohamad Sabu membabitkan peruntukan RM50 bilion untuk mengatasi banjir di Lembah Klang khususnya di Parlimen itu sebagai mengarut.

Ujarnya, pesaingnya di kerusi berkenaan dari Parti Amanah Negara (Amanah) itu bercakap tidak masuk akal kerana tidak menyedari betapa besar angka berkenaan.

“Tahu tak banyak mana RM50 bilion tu? Tak masuk akal. Selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, Ahli Parlimen Kota Raja masa itu, Mat (Mohamad) Sabu... dia Menteri Pertahanan juga.

“Sudah 15 tahun PH memerintah (Selangor) sehingga kini tiada perubahan,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan BN Kota Raja di sini pada Khamis.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: PM setuju agih komputer riba percuma pada M40 - Zahid

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Pada Rabu, Mohamad mengumumkan manifesto utamanya iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang berjumlah RM50 bilion sebagai langkah penyelesaian jangka panjang bagi menangani banjir Lembah Klang.

Sebelum ini, katanya Kerajaan BN pada 2007 telah membuat perancangan mengatasi banjir dengan memperkenalkan projek Canal City yang bernilai RM3 bilion.

“Projek Canal City melibatkan Sri Muda sahaja, di mana 30 peratus aliran sungai Klang dipindahkan ke Sungai Langat pada waktu puncak.

“Sayang sekali mereka (PH) memerintah pada 2008, projek berkenaan dibatalkan dan kawasan berkenaan difahamkan telah dijual kepada pemaju,” dakwanya.


Malah, beliau mendakwa pembinaan perumahan secara tidak terancang menyebabkan banyak kawasan termasuk di perkampungan dilanda banjir.

“Mereka telah mengabaikan kawasan kampung. Sistem perparitan juga bermasalah,” tambahnya.

Mohamad juga didakwa tidak turun padang melihat sendiri masalah rakyat, namun hanya muncul apabila tiba kempen pilihan raya.

“Saya tidak tahu, beliau sibuk masak kot. Musim kempen ini baru muncul. Tiba-tiba sahaja muncul di kunci air,” tambahnya.