PRU15: Mat Sabu akui gemuruh kongsi pentas dengan BN di DUN Tioman

Astro Awani
Disember 1, 2022 02:10 MYT
Mohamad (empat, kiri) bersama Wan Rosdy (dua, kiri) dan Amirudin (kiri) beramah mesra dengan sebahagian hadirin ketika hadir pada ceramah umum sempena PRU15 DUN Tioman di Rompin semalam. --fotoBERNAMA
ROMPIN: Pengerusi Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mengakui berasa gemuruh dan berdebar apabila berkongsi pentas bersama Barisan Nasional (BN) ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak pernah membayangkan untuk berkempen bersama BN bagi memenangkan calon parti itu, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, pada pemilihan 7 Dis ini.
"Berdebar juga. Ini adalah satu peristiwa baharu pada saya, sebab saya mendukung keputusan Pakatan Harapan (PH).
"Saya diminta oleh mesyuarat PH semalam untuk hadir malam ini untuk sokong calon BN mewakili DUN Tioman ini.
"Memanglah, tak pernah lagi dikelilingi oleh rakan-rakan daripada UMNO," katanya.
Selain Mohamad, ceramah yang julung kali diadakan itu turut dihadari pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi PH Pahang Datuk Seri Amirudin Shari dan bekas setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Mohamad dalam pada itu turut meminta rakyat menegur kerajaan yang sudah dibentuk selain berharap pihak pembangkang lantang mengkritik bagi membina Malaysia lebih baik untuk semua kaum, agama, serta menjunjung Perlembagaan Negara.
Selebihnya, beliau berharap semua pihak boleh memberi tempoh lima tahun kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus mentadbir di peringkat persekutuan dan negeri.
#Mohamad Sabu #Kerajaan Perpaduan #Barisan Nasional #Amanah