PRU15: Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dijangka 'panas'

Afiezy Azaman
November 21, 2022 09:11 MYT
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi foto beliau bersama pemimpin-pemimpin lain dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sedang berlangsung di Menara Dato' Onn, WTC, Kuala Lumpur. - Gambar Facebook Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR: Tumpuan kini terarah kepada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula 2.30 petang tadi.
Mesyuarat berkenaan dilihat penting untuk merangka keputusan sama ada memilih Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan atau menjadi pembangkang bagi penggal ini.
Difahamkan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Terdahulu, beberapa pemimpin BN dilihat tiba di Menara Dato’ Onn bagi menghadiri mesyuarat itu, antaranya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini menjelaskan Dewan Tertinggi BN akan buat keputusan berhubung sokongan mereka kepada mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.
Setakat petang ini, PN mendakwa sudah cukup bilangan untuk membentuk kerajaan, sementara PH belum mencukupi bilangan kerusi diperlukan.
Manakala PH melalui Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengesahkan membentuk kerjasama bersama BN dan mempunyai majoriti untuk ke Putrajaya.
#Dewan Tertinggi BN #PH-BN #Perdana Menteri ke-10 #Anwar atau Muhyiddin