KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman bersedia menyahut cabaran daripada mana-mana pihak yang berhasrat untuk merebut kerusi yang disandangnya.

Beliau yang juga Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) mengambil sikap terbuka bahawa mana-mana parti politik di negara ini berhak untuk bertanding di kerusi yang mereka inginkan.

"Kalau dulu saya selaku pendatang baharu berhadapan dengan seorang yang cukup dikenali di negara kita iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (bekas Ahli Parlimen Kota Belud) yang mana ketika itu, saya tidak pernah berkhidmat di Sepanggar tetapi saya boleh berhadapan dengan beliau.

"Apatah lagi kini saya pernah berkhidmat di situ, rakyat kenal saya jadi pada saya tidak ada masalah berhadapan dengan sesiapa pun jika diminta berkhidmat dan bertanding di situ sekali lagi, InsyaAllah saya akan menyahut cabaran itu jika diminta oleh parti," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas berhubung kerusi yang disandangnya ketika ini mula menjadi rebutan beberapa pihak termasuk Pas yang memberi bayangan akan bertanding di Parlimen Sepanggar.

Beliau bagaimanapun menyerahkan sebarang keputusan kepada pimpinan tertinggi parti untuk menentukan sama ada akan kekal bertanding di kawasan itu atau sebaliknya.

"Kita serahkan kepada Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kerana pada akhirnya yang akan memutuskan siapa bertanding di mana-mana sekali pun adalah Presiden Warisan.

"Saya selalu akur kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh parti. Tanding atau tidak, saya kena nyatakan bahawa saya akan bekerja supaya rakyat Sabah melihat kepentingan untuk kita bersatu menuntut hak-hak kita selaku rakyat Sabah.

"Keadaan negeri kita ini seolah-olah kita ketinggalan 20 tahun jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain di Semenanjung, jadi itu yang lebih penting," katanya.

Media pada Mei lalu melaporkan, Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan beliau tidak menolak bahawa Parlimen Sepanggar antara kerusi yang menjadi sasaran Pas Sabah.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.