TAMBUN: Di sebalik desas-desus kononnya bakal membuat pengumuman keluar parti dalam masa terdekat, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen telah menyatakan taat setia beliau kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, perkara itu dinyatakan oleh Mohd Rafiq dalam kumpulan WhatsApp mereka, malam tadi.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal tidak dapat mengesahkan spekulasi kononnya pemimpin Bersatu dari Melaka itu akan meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Malam semalam saya tengok dalam kumpulan whatsapp, beliau sebut bahawa beliau taat dan setia kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) selaku Presiden Bersatu.

“Jadi spekulasi mengatakan beliau nak umum keluar parti itu, saya tak dapat nak pastikan.

“Saya harap beliau sebagai seorang sahabat, (Mohd Rafiq) kekal istiqamah dalam apa juga keadaan untuk terus bersama sama dengan Bersatu dan PN (Perikatan Nasional) yang akan ambil bahagian dalam PRU yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Ahmad Fizal berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah Pusat Belia Perak (PYC), di sini, hari ini.

Pada Sabtu, media melaporkan timbul desas-desus kononnya Mohd Rafiq dikatakan bakal membuat pengumuman keluar parti dalam masa terdekat.

Khabar angin berkenaan mula tersebar luas dalam kalangan akar umbi parti selepas pemimpin kanan parti itu dikatakan tidak akan dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu meskipun pengumuman rasmi oleh gabungan PN belum dibuat.

Mohd Rafiq, bagaimanapun, hanya mengesahkan beliau akan mengadakan sidang media pada petang ini bagi menjelaskan perkara berkenaan.