AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) Melaka dikatakan bakal membuat kejutan dengan mempertaruhkan tokoh akademik, Prof Dr Massila Kamalrudin di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.

Nama Massila yang juga Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mula disebut-sebut sejak semalam dan dikhabarkan sudah hampir pasti akan dipertanggungjawabkan untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

Beliau ketika ditemui, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut perkara berkenaan dan meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti malam ini.

“Baru disebut-sebut sahaja, saya tidak mahu komen dan kita tunggu sahajalah nanti.

“Kita tunggu sahaja, apa-apa pun (tolong) doa yang baik baik. (Saya) ada muka nak jadi ahli politik ke?”selorohnya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Berusia 41 tahun, Massila sebelum ini dilantik sebagai Naib Canselor UTeM sejak Mac 2022 lalu yang menyaksikan beliau sebagai wanita kedua yang menerajui kepimpinan universiti tersebut sekali gus dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Cakap-cakap politik yang menyebut nama beliau bakal dipertaruhkan di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya itu mencetuskan rasa tidak senang kepada akar umbi UMNO dan BN kawasan berkenaan memandangkan beliau tidak aktif dalam politik.

Semalam Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, BN negeri mengatur gerak kerja terancang termasuk strategi pemilihan calon.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pemimpin parti yang tidak dipilih untuk sentiasa berlapang dada dan memberikan sokongan padu kepada calon yang dilantik bagi memastikan kemenangan parti.

“Kita telah memberikan gambaran yang mana bagi yang terpilih kita minta kerja bersungguh-sungguh dan jika tidak terpilih mereka perlu menyokong calon yang bakal diumumkan.

“Calon yang diletakkan tidak kiralah ahli akademik ke, ahli sukan, doktor, peguam, majistret, keputusan parti mengambil kira dalam pelbagai sudut untuk mengimbangi tuntutan sosial masyarakat sekarang dengan kombinasi tokoh-tokoh,” katanya.

Parlimen Hang Tuah Jaya yang dahulunya pernah menjadi kubu kuat BN disandang oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dari PKR sejak dua penggal lalu termasuk menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada PRU-14 lalu dengan majoriti 8,640 undi.

Pakatan Harapan baru-baru ini menamakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim sebagai calon di kerusi berkenaan, manakala Perikatan Nasional pula dikatakan akan mencalonkan bekas Rektor UTeM, Datuk Dr Mohd Rudin Abd Ghani.