KANGAR: Penentuan mengenai nama atau senarai akhir calon Menteri Besar Perlis sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas pentadbiran kerajaan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini hanya akan diputuskan Pas Pusat.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli, menjelaskan segala keputusan mengenai jawatan itu tidak boleh dilakukan sekarang dan hanya boleh diputuskan selepas Pas menerusi gabungan PN menang di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PN Perlis menjelaskan bahawa semua calon Pas yang dipertaruhkan di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) layak untuk diangkat sebagai Menteri Besar.

Tambahnya, kepimpinan Pas di peringkat negeri juga turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi PN atas kepercayaan yang diberikan kepada kepimpinan Pas di Perlis.

"Terima kasih sebab beri kepercayaan kepada Pas, dan kita harap ada calon yang bertanding akan dilantik sebagai MB selepas pilihan raya jika dianugerah kemenangan.

"(Sekarang ini) tidak bincang langsung (mengenai calon Menteri Besar dalam kalangan pimpinan Pas di Perlis), selalunya kalau daripada Pas ini, (pihak) Pusat yang akan menentukan, dan mungkin saya akan bawa bincang dengan Pusat untuk bincang siapa calon nanti sekiranya kita dapat kuasai negeri ini.

"(Dan saya nak tegaskan sesiapa pun) boleh (dan) layak jadi MB, kalau tidak Pas, boleh siapa-siapa pun, janji dapat bawa kerajaan dengan baik," katanya.

Shukri berkata demikian ketika temu bual bersama Astro AWANI di Seriab, di sini pada Ahad.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: UMNO gantung Ketua Wanita Arau, Maran

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa fokus utama kerajaan baharu PN sekiranya dipilih kelak, akan diberikan kepada pembangunan ekonomi selain memperkukuhkan sektor pertanian sedia ada.

Tumpuan juga jelasnya, akan diberikan kepada penambahan nilai di dalam sektor pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri Perlis dan tidak hanya bertumpu kepada Pulau Langkawi serta Thailand.

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!

Terdahulu, Pas mengakui PN bersetuju menamakan Menteri Besar dari Pas di Perlis dan Pahang sekiranya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri tersebut.

Menurut Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia merupakan perancangan awal pimpinan PN pada PRU15 ini.