PASIR SALAK: Satu undi daripada rakyat kepada calon Pakatan Harapan (PH) bukanlah undi untuk diri mereka sahaja tetapi kepada PH bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Calon PH Parlimen Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, Anwar yang juga Pengerusi PH merupakan calon paling layak untuk memimpin Malaysia.

Bahkan, kata Nik Omar, bekas Mursyidul Am Pas yang juga bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hayatnya sentiasa berdoa agar rakyat Malaysia memberi peluang kepada Anwar menjadi Perdana Menteri.

"Undi saya maknanya undi untuk kebaikan satu negara sebab kita sekarang ini mempunyai satu calon yang paling layak untuk memimpin Malaysia.

"Itu sebenarnya sentiasa didoakan oleh Almarhum ayahanda Tok Guru, dia nak tengok dan doa dia secara terbuka, boleh tengok di media sosial betapa dia minta supaya rakyat Malaysia beri peluang kepada sosok yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui selepas berkempen di sekitar kawasan Pasir Salak, baru-baru ini.

Mengulas perjalanan kempennya, Nik Omar yang baru pertama kali bertanding di kerusi Parlimen menegaskan, beliau mahu menerapkan amalam politik matang dan sejahtera sepanjang berkempen.

"Saya pun lebih kepada nak bawa budaya politik matang sejahtera, antaranya kita hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Kita tak ambil sikap menyerang. Saya pun bawa pendekatan ayahanda tok guru, menerang bukan menyerang. Jadi saya lebih kepada menerang apa yang kita nak bawa.

"Pada saya sekarang nak terangkan apa yang PH nak bawa, apa yang Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu beri kepada rakyat melalui calon dia sebagai Perdana Menteri," ujarnya.


Untuk rekod,pada 2018, Nik Omar yang ketika itu ahli Parti Amanah Negara (Amanah) pernah bertanding dalam PRU14 mewakili PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka tetapi kalah kepada calon Pas.

Kerusi DUN Chempaka di Kelantan merupakan kerusi yang pernah disandang oleh Allahyarham bapanya selama lima penggal sejak 1995.