GEORGE TOWN: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berharap kekal bertanding mempertahankan kerusi disandangnya di Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, bagaimanapun beliau tetap menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kerusi mana yang bakal ditandinginya kelak.

‘’Ya, saya bukanlah pemutus kata, sebagaimana saya sebutkan tadi, di hati ini memang teringin (kekal di Permatang Pauh) tetapi sebagai salah seorang askar dalam parti kita boleh berharaplah tidak digugurkan daripada untuk dicalon, dan kedua... diberikan kerusi sebagaimana dipohon di hati

“Tetapi kalau tidak, saya serahkan kepada pimpinan kerana akhirnya kita hendak menawarkan diri untuk menjalankan tugas dan amanah... ia bukanlah sesuatu yang dapat kita  pegang selama-lamanya” kata Nurul Izzah hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis pertemuan dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bersama Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang , Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Dalam pada itu, Nurul Izzah yang juga Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) bagi Zon Utara (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) berkata mempunyai tugas penting untuk  membantu jentera pilihan raya di ketiga-tiga negeri tersebut dan berharap semua pihak memberi peluang kepadanya untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.

“Ketika ini, saya pun perlu menjaga tiga buah negeri utara dan semalam saya telah membantu di Simpang Renggam dan Johor Bahru, tetapi saya juga merancang untuk membantu  di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga  cumanya nak lari ke sana ke sini susah sikitlah, tetapi berikanlah peluang ya,” katanya.

Nurul Izzah berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR pada PRU15.

Sebelum ini, tular spekulasi mendakwa Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Ampang, sementara Datuk Husam Musa pula akan diturunkan di kawasan Gombak mewakili PKR pada PRU15.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan PKR menghadapi PRU15 dan pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang, Nurul Izzah memaklumkan perbincangan mengenainya akan dibuat pada 20 September ini.

Isu pembahagian kerusi dijangka diselesaikan secepat mungkin sebelum Oktober, katanya.