PAPAR: Perlembagaan Malaysia tidak menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada mana-mana pihak, tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menegaskan, pemimpin dari Sabah juga layak untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri.

"Orang Sabah pun layak untuk jadi Perdana Menteri cuma masalahnya ialah populariti, sama ada dapat sokongan atau pun tidak.

"Untuk ini, pemimpin daripada Sabah tidak harus bergerak cuma hanya di Sabah, kita harap mereka datang ke Semenanjung dan Sarawak supaya mereka lebih dikenali dan dengan itu ada kemungkinan orang Sabah juga jadi Perdana Menteri… demikian juga dengan orang Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai menghadiri Majlis Ceramah Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran Pejuang di sini, pada Isnin.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sudah meluaskan sayap partinya ke Semenanjung, Dr Mahathir berkata, bekas Ketua Menteri Sabah itu bebas ke sana, cuma persoalannya apakah beliau mendapat sokongan yang cukup atau sebaliknya.

"Dia boleh begerak sampai sana, soalnya sama ada dia mendapat sokongan yang cukup atau tidak. Hak dia untuk jadi Perdana Menteri memang dijamin dalam Perlembagaan," jelasnya.

Dalam sama, Dr Mahathir mengulangi keterbukaannya untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang bersih selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"GRS kalau dia nak bekerjasama dengan kita, kita kena kajilah, selepas pilihan raya… tapi kena pilihlah, bukan kerjasama dengan UMNO, bukan kerjasama dengan Pas, bukan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka terlibat dengan rasuah.

"Kita nak kerjasama dengan parti lain yang tidak terlibat dengan rasuah dan mempunyai pendirian yang sama dengan Gerakan Tanah Air (GTA)," tegas Dr Mahathir yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15.