RAUB: Setiap calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah tentu menawarkan manifesto masing-masing kepada rakyat di kawasan mereka tandingi.

Lebih seminggu berkempen, pelbagai janji dan solusi diberikan kepada isu tempatan di sesebuah tempat.

Begitu juga di Parlimen Raub, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Astro AWANI bertemu setiap calon Parlimen ini bagi mendengar visi dan misi ingin dibawa mereka.


ISU AIR JADI KEUTAMAAN

Bagi calon BN, Datuk Chong Sin Woon yang juga Setiausaha Agung MCA, pelbagai isu ingin diselesaikan sekiranya diberi mandat pada 19 November depan.

"Isu bekalan air memang isu lama di Raub bukan hanya di bandar, di kampung, di perkampungan Orang Asli walaupun kadang kala ada bekalan air, tetapi (airnya) keruh.

"Maksudnya bukan sahaja loji perlu ditukar dan dinaik taraf, tapi paip air (bawah tanah) yang sudah usang ini semua kena ditukar," jelasnya.

Tambah Sin Woon, meskipun kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM70 juta, namun pembaikan infrastruktur asas di kawasan itu memerlukan perbelanjaan sehingga berbilion ringgit.

"Peruntukan RM70 juta kerajaan negeri Pahang setakat ini, tapi kalau kita nak selesaikan isu ini secara jangka panjang.

"Ia memerlukan berbilion peruntukan, ini kita perlukan sokongan Kerajaan Pusat, kita dah ada perbincangan dan perancangan kalau saya menang nanti ini adalah fokus utama," katanya lagi.


ISU HOSPITAL DAN MUSANG KING

Selain isu air, turut akan ditambah baik di Parlimen itu jelas Sin Woon berhubung isu kekurangan doktor pakar di Hospital Raub dan pertanian durian jenis Musang King.

"Isu kebajikan rakyat dari segi kesihatan kita ada hospital di Raub tapi kita tiada doktor pakar, doktor pakar hanya datang sebulan sekali.

"Bayangkan ramai sekali (penduduk) di Raub, sekurang-kurangnya kita perlu adakan fasiliti yang cukup untuk kita meletakkan doktor pakar di sini. Untuk perkara ini saya telah berhubung dengan Menteri Kesihatan, selepas kita menang nanti, ini isu dalam hati saya untuk kita naik taraf hospital dan meletakkan doktor pakar di kawasan ini.

"Kita juga nak usahakan bahawa durian kita boleh dieksport secara segar, tidak perlu sejuk bekukan dengan gas Nitrogen, itu tambahan kos.

"Kalau boleh kita kena bincang dengan negara-negara kita selesaikan isu ini. Pada waktu sama satu institut penyelidikan, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita tubuhkan membantu semua pengusaha dan penanam durian untuk mereka yang baru nak menceburi bidang ini," katanya lagi.


KRISIS AIR TERLALU LAMA

Sementara itu, isu sama ingin dibawa oleh calon PH, Chow Yu Hui yang mahu masalah air di kawasan itu dapat diselesaikan segera.

"Isu utama saya nak bawa adalah isu krisis air dan selesaikan yang ini paling kritikal di semua rakyat Raub, kerana tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India dan semua lapisan menghadapi masalah tiada air.

"Walaupun Raub jual air kepada Selangor, tapi Raub sendiri tiada air, infrastruktur pam dan loji perlu ditingkatkan," katanya.

Tambah Yu Hui, Raub juga berpotensi menjadi kawasan ekopelancongan sekali gus membawa impak ekonomi kepada rakyat setempat.

"Raub sangat berpotensi jadi satu kawasan penuh dengan ekopelancongan sangat penitng di Raub sebab kami ada banyak tanaman pokok durian Musang King.

"Ini adalah satu branding di Raub boleh menarik pelancong dari negara luar seperti China dan Singapura, ini satu industri yang saya rasa nak bangunkan jika saya jadi Ahli Parlimen," katanya lagi.


MAHU BINA LRA DI RAUB

Bagi calon PN, Datuk Fakrunizam Ibrahim pula mahu membina kolam takungan air bagi jangka pendek untuk menyelesaikan isu air di kawasan Parlimen itu.

Jangka panjang pula jelasnya, perlu pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) diwujudkan di Raub.

"Isu utama saya ialah menyelesaikan masalah air di Raub dengan speisifik iaitu membina dengan kapasiti 40 hingga 60 juta liter padu sehari. Untuk membekalkan air di keseluruhan Pahang barat, kita mempunyai air banyak tapi dihantar ke Selangor (tetapi) penduduk sendiri tiada air.

"Kita merancang dua tahap, jangka pendek dalam masa setauhn kita akan lakukan projek kolam takungan air memastikan air boleh dibekalkan ketika waktu puncak.

"Membantu dengan teknologi untuk mengambil kira kekerohan air pada setiap 10,000 hingga 20,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU). Kedua kita merencanakan loji rawatan air (LRA) perlu dilaksanakan dalam masa dua tahun setengah hingga tiga tahun maksimum," katanya.

Dari sudut sektor kesihatan pula, tawarannya sama seperti calon lain iaitu menambah baik sistem kesihatan awam di kawasan itu.

"Manifesto kedua, kita nak naik taraf hospital di Raub, dari segi penambahan katil, servis tenaga kerja dan tenaga doktor pakar.

"Kita nak minta ditempatkan Doktor Pakar Jantung di tempat kita di Raub ini. Ketiga kita mengusulkan ada sebuah cawangan universiti kedua berasaskan pertanian sebab sumber ekonomi Raub berdasarkan pertanian," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.


MAHU BINA KAWASAN PERINDUSTRIAN

Calon GTA, Norkhairul Anuar Mohamed Nor pula berpandangan berbeza berbanding calon lain. Bukan durian Musang King semata-mata perlu dijadikan produk ekonomi di kawasan itu, sebaliknya kawasan perindustrian perlu dibangunkan.

"Peluang pekerjaan saya tak boleh cakap dari segi general, saya nak spesifikkan peluang pekerjaan, kita perlu wujudkan kawasan perindustrian dekat Raub ini.

"Di Bentong sangat banyak kawasan perindustrian tapi dekat Raub tidak ada satu kilang kecuali kilang plywood. Dekat Raub ini tanah banyak boleh diwujudkan kilang teknologi tinggi berpotensi dekat Raub ini," katanya.

Antara calon underdog, jelas Norkhairul, beliau percaya wawasannya itu mampu memberi nafas baharu kepada Raub terutama golongan belia.


TIDAK BOLEH HANYA BERGANTUNG KEPADA MUSANG KING

"Umur 18 hingga 40 tahun semua nak kerja dekat Raub, tapi takkan mereka nak kerja kilang sawit, tak kan nak kerja kilang papan. Kalau kita wujudkan kilang berteknologi tinggi dekat Raub, saya yakin ramai anak muda nak bekerja dekat Parlimen ini," katanya lagi.

Ujarnya, meskipun Musang King menjadi tarikan utama di kawasan itu, namun perlu diterokai potensi sosio ekonomi baharu demi masa depan rakyat di Raub.

"Benda paling crucial adalah elektronik, semua benda pakai elektronik baik di rumah, produk automotif, kenapa kita tak boleh buat kilang elektronik dekat Raub?

"Salah satu industri akan bangun 10 tahun adalah kereta elektrik, tak munasabah untuk kita buat satu kereta lengkap di sini, tapi kita boleh buat satu bahagian contoh bateri.

"Untuk mengembangkan teknologi dekat Raub kalau tidak ada apa kita cuma mengharapkan Musang King seolah-olah Musang King itu macam emas padahal Musang King hanya buah," katanya lagi.

Itu misi dan visi setiap calon di Parlimen Raub, tawaran sudah dibuat, kini giliran rakyat menentukan siapa yang layak menerajui Parlimen itu.

Pada PRU lalu, Parlimen itu dimenangi Tengku Zulpuri Shah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 3,159 undi menewaskan dua lagi saingannya Chew Mei Fun dari Barisan Nasional (BN) dan Dr Mohamed Nilam dari Pas.