SUNGAI BULOH: Parlimen Sungai Buloh yang sepatutnya menjadi kerusi selamat buat Pakatan Harapan, kini menjadi kerusi yang sukar diramal, kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

Beliau berkata, ini susulan pertembungan calon yang membawa personaliti kuat seperti Khairy Jamaluddin di kawasan itu, selain kekuatan sokongan berdasarkan parti calon Pakatan Harapan (PH).

"Jika kita mahu mengukur kekuatan PH di sini, saya menganggap PH ini mempunyai asas parti yang kuat, sokongan berdasarkan majoriti 26,634.

"Kedua, Khairy Jamaluddin mencabar dengan membawa sokongan asas yang besar. Maksudnya, dia datang dengan suara massa, populariti beliau dan prestasi beliau sebagai menteri.

"Jadi, pertembungan antara suara massa dan kekuatan sokongan parti akan teruji di sini, di samping calon-calon lain," katanya ketika ditemu bual rancangan AWANI Pagi di Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.

Hisomuddin menambah, pola pengundian di kawasan Parlimen itu mula berubah selepas penamaan calon, susulan pertembungan tujuh penjuru, menjadikan pengundi kini perlu membuat keputusan sama ada berdasarkan parti atau personaliti.

Parlimen Sungai Buloh sebelum ini dimenangi wakil Pakatan Harapan S Sivarasa dengan majoriti 26,634.