IPOH: Mana-mana parti politik yang ingin memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Perak ketika tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh menyalurkannya melalui pejabat daerah yang terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kaedah itu lebih baik bagi mengelakkan bantuan berkenaan ditafsirkan sebagai memancing undi.

Beliau yakin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membenarkannya kerana parti-parti politik, khususnya Barisan Nasional (BN) sentiasa menghulurkan bantuan tanpa mengira masa.

“Yang tak boleh ialah memberi (sumbangan) dalam bentuk wang atau barangan, dengan tujuan untuk mengumpan undi.

“Tapi, (perumpamaan) kalau takut dia lemas, ada sampan, takkanlah sebagai calon, membiarkan orang lemas, calon akan angkat dan letak dia atas sampan.

“Saya tak fikir SPR akan kategorikannya (sumbangan melalui pejabat daerah) sebagai mengumpan,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan calon dan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi di sini, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Deklarasi Profesor Melayu G70 sokong Anwar' tidak wakili MPN - Ismail Sabri

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Menurutnya, setiap pejabat daerah yang terlibat telah menyediakan bantuan yang boleh disalurkan terus kepada mangsa banjir, termasuk di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS).

“Semua penghulu perlu melaporkan kepada pejabat daerah berapa bilangannya (mangsa banjir) dan bantuan akan sampai,” ujarnya.

Pada Rabu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, usaha untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir sukar dilakukan kerana kekangan syarat kempen semasa PRU15.