KOTA BHARU: Pas masih mengharapkan ada ruang persefahaman dengan UMNO pada saat akhir bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, persefahaman itu membolehkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) memperoleh manfaat bersama atau situasi menang-menang.

"Kita pun di Perikatan Nasional masih lagi mengharapkan berlakunya rundingan yang boleh memberikan keuntungan kepada semua pihak, win-win situation.

"Dalam konteks ini PN dan BN boleh jadi kalau tak ambil satu langkah mengelakkan daripada  pertembungan banyak penjuru yang menyebabkan semua kalah.

"Pas masih lagi komited sebagai mendokong konsep MN, masih lagi wujud MN, tiada pembatalan setakat ini," katanya.

Jelas beliau Pas dalam Perikatan Nasional masih mendokong Muafakat Nasional (MN), kerana ia belum ada noktah berdasarkan piagam yang dibentuk bersama sebelum ini.

MN, katanya, masih lagi wujud dengan tiada pembatalan dibuat.

Takiyuddin berkata, Pas sedang merangka kerjasama bagi mengelakkan permusuhan di antara Pas dan UMNO.

Ia termasuklah mencari formula terbaik agar penyatuan ummah dan parti Melayu dapat dikekalkan.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli turut memaklumkan, dalam politik pelbagai kaedah dilakukan termasuk menjalinkan kerjasama, menubuhkan gabungan atau persefahaman antara parti politik tanah air.

Beliau berkata demikian selepas melawat bekas pemain bolasepak Kelantan era 90-an, Hashim Mustafa yang menderita penyakit kencing manis di sini petang semalam.