PRU15: Pas serah 150 nama calon Parlimen, DUN Kelantan

Adam Darwish
Oktober 12, 2022 10:18 MYT
Sebanyak 150 nama calon bagi kerusi DUN dan Parlimen telah diserahkan kepada pihak Pas Pusat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, kata Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Zulkifli Mamat.
KOTA BHARU: Sebanyak 150 nama calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen telah diserahkan kepada pihak Pas Pusat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Zulkifli Mamat berkata, kesemua nama calon tersebut dihantar pada Ogos lalu.
Beliau berkata, buat masa sekarang Pas Kelantan masih belum menerima sebarang keputusan bagi menentukan siapa yang bakal bertanding di kawasan-kawasan tersebut.
"Senarai nama tersebut turut melibatkan calon muka baharu, lama serta wanita dan daripada pelbagai latar belakang.
"Apa yang penting nama-nama yang dicalonkan itu dilihat berpotensi besar untuk menang," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Negeri 1, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, calon Pas Kelantan pada PRU15 kali ini akan menampilkan 30 peratus muka baharu.
Beliau berkata, setiap DUN dan Parlimen mengemukakan nama untuk dihantar kepada pucuk pimpinan parti dan bergantung kepada parti untuk menentukan.
"Faktor penting pemilihan calon mestilah berpotensi untuk menang tetapi muka baharu tidak semestinya orang muda selain mengambil kira faktor-faktor lain," katanya.
#bubar parlimen #PRU15 #Pas Kelantan #calon pilihan raya